Jun 25, 2009

Jual Air Zam-zam

Salam,

Kepada Panelis Ahkam ,


1)Adakah terdapat larangan khas samada dari Al-Quran atau As-Sunnah dalam Penjualan Air Zam-Zam?

2) Apakah konsep Servis dalam Islam?

3) Adakah adakah adakah satu kesalahan kepada saya jika saya memberikan servis kepada untuk menternak babi yg bukan Islam di atas tanah saya atau memberi servis penghantaran babi .Saya maklum bahawa keharaman arak mencakupi perhantaran dan etc , tetapi adakah hukum ini juga menrangkumi perkara haram yang lain .. seperti menghantar Ular ke kedai bukan Islam contohnya?




Soalan 1 :

Setakat pencarian kami , tidak terdapatnya larangan dalam menjual air zam-zam. Walaubagaimana pun untuk menghindarkan diri daripada terjebak kepada perkara-perkara yang syubhat eloklah sekiranya jualan air zam-zam itu diniatkan untuk menampung segala kos dan perkhidmatan yang ditanggung oleh pengusaha dan bukannya niat untuk menjual air zam-zam tersebut. Wa allahu a’lam.

Soalan 2 :

Dalam masalah ini ia berkait rapat dengan konsep al-Ijarah (upah)
Ijarah, menurut bahasa, adalah al-itsabah (memberi upah).Manakala menurut istilah fiqh ialah pemberian hak pemanfa’atan dengan syarat ada imbalan.

Secara ringkasnya , dalam Islam setiap perkhidmatan dan servis yang diberikan terhadap sesuatu perkerjaan wajib dibayar upah atau hadiah yang sewajarnya mengikut tugasan perkhidmatan atau servis tersebut.Secara umumnya juga , tidak terdapat penentuan bayaran upah terhadap sesuatu perkhidmatan yang diberikan , melainkan dengan cara musyawarah atau tawar menawar antara pihak yang memerlukan servis dgn pihak yang memberikan servis.

Maknanya upah bayaran untuk servis atau perkhidmatan tersebut mestilah dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

Walaubagaimana pun penentuan nilai bayaran bagi upah terhadap sesuatu servis itu boleh ditentukan samada dari pihak yang meminta servis atau pun dari pihak yang member servis dengan syarat kedua-dua pihak mestilah bersetuju dengan nilai bayaran yang dicadangkan.Sebagaimana terdapatnya riwayat hadis sahih yang menyebutkan seorang sahabat yang diminta oleh penduduk sebuah kampung supaya merawat ketua kampungnya yang terkena sakit telah meminta bayaran dengan 30 ekor kambing dan syarat tersebut dipersetujui oleh penduduk kampung tersebut.


Terdapat ancaman dari Rasulullah saw kepada orang yang tidak membayar upah kepada orang yang telah memberikan servis atau perkhidmatan :

Dari Abu Hurairah ra dari Nabi saw Beliau bersabda, “Allah Ta’ala berfirman: Ada tiga golongan yang pada hari kiamat (kelak) Aku akan menjadi musuh mereka: (pertama) seorang laki-laki yang mengucapkan sumpah karena Aku kemudian ia curang, (kedua) seorang laki-laki yang menjual seorang merdeka lalu dimakan harganya, dan (ketiga) seorang laki-laki yang mempekerjakan seorang buruh lalu si buruh tersebut mengerjakan tugas dengan sempurna, namun ia (majikan) tidak memberinya upahnya.”

(Hadis Hasan: Irwa-ul Ghalil no: 1489 dan Fathul Bari IV: 417 no: 2227).

Itulah serba sedikit konsep servis atau perkhidmatan dalam Islam yang mana setiap servis dan pekerjaan itu wajib mendapat upah.


Soalan 3 :

As-Syaikh Dr Yusof al-Qardhawi menyebut dalam kitabnya al-halal wa al-haram fi al-Islam bahawa sebarang bentuk perniagaan yang boleh membawa kepada maksiat adalah haram hukumnya seperti perniagaan yang ada hubung kait dengan babi , arak , patung berhala , alatan salib , makanan dan minuman yang diharamkan dan sebagainya.Ini termasuklah apa sahaja servis atau perkhidmatan yang berhubung kait dengannya.Memberikan perkhidmatan / servis kepada perkara-perkara yang diharamkan termasuk dalam lingkungan syubhat yang wajib ditinggalkan.

Antara dalil-dalilnya adalah seperti berikut :

1. Hadis Rasulullah saw :

دع ما يريبــــك إلى مالا يريبـــك

“Tinggalkanlah apa-apa yang meragukan kamu kepada apa yang tidak meragukan kamu”

( HR Tirmizi no: 2520 )

Hadis di atas jelas menunjukkan kepada kita , menjauhi perkara yang syubhat adalah lebih baik daripada kita melakukannya kerana dibimbangi terjerumus kepada yang haram.


2. Begitu juga dengan firman Allah swt dalam al-Maidah ayat 2 :

“Wahai orang-orang Yang beriman, janganlah kamu ingat halal membuat sesuka hati mengenai syiar-syiar ugama Allah, dan mengenai bulan-bulan Yang dihormati, dan mengenai binatang-binatang Yang dihadiahkan (ke Makkah untuk korban), dan mengenai kalong-kalong binatang hadiah itu, dan mengenai orang-orang Yang menuju ke Baitullah Al-Haraam, Yang bertujuan mencari limpah kurnia dari Tuhan mereka (dengan jalan perniagaan) dan mencari keredaanNya (dengan mengerjakan Ibadat Haji di tanah Suci); dan apabila kamu telah selesai dari ihram maka bolehlah kamu berburu. dan jangan sekali-kali kebencian kamu kepada suatu kaum kerana mereka pernah menghalangi kamu dari Masjid Al-Haraam itu - mendorong kamu menceroboh. dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. dan bertaqwalah kepada Allah, kerana Sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya (bagi sesiapa Yang melanggar perintahNya)”.

Malah terdapat satu kaedah fiqh yang bersangkut paut dengan masalah tersebut :

الــحريم له حـــكم ما هو حـــريم له

“Yang mengelilingi larangan hukumnya sama dengan yang dikelilingi”

Kaedah ini membawa maksud , jika arak , babi dan sebagainya adalah haram dan dilarang , maka segala yang bersangkut paut dengannya juga hukumnya adalah sama , iaitu haram dan dilarang.

Jelas daripada ketiga-tiga dalil diatas , bahawa melakukan perkara yang bersangkut paut dengan perkara yang haram adalah tidak dibolehkan dalam Islam, kerana secara tidak langsung ianya termasuk dalam aktiviti yang boleh menyokong dan membantu perkara yang haram tersebut.

WA

Ruj :

Al-halal wa al-haram fil Islam, Dr Yusof Al-Qaradhawi
Taudhih al-Ahkam min Bulughil Maram , Asy-Syaikh Abdullah bin Abd Rahman Al-Bassam.
Majallah al-Majma’ al-Fiqhi al-Islami.
Fathul Bari , Syarah Sahih Bukhari.

_________________
/ www.aljawhar.wordpress.com

0 comments:

Post a Comment