Dec 30, 2008

Keratan Dan Cebisan Quran Lama

Salam

Bagaimanakah caranya untuk menguruskan naskah al-Quran yang telah usang dan juga keratan-keratan al-Quran yang telah usang? (Misalnya kulit al-Quran koyak atau berkulat atau beranai-anai)

Adakah dibolehkan bakar, atau tanam al-Quran dan keratan al-Quran tersebut?

Atau adakah terdapat cara lebih baik bagi menjaga kesucian al-Quran usang tersebut?

Wallahua'lam

------------
Salam

Tidak boleh melemparkan mana-mana lembaran dari al-Quran ke tanah atau ke tempat yang keji, selama di dalamnya terkandung walaupun satu huruf ataupun satu ayat suci al-Quran. Bahkan, jika ia dilakukan atas jalan menghina dan mengeji, maka jatuh kufur kepada pelakunya, wal-iyazubillahi min zalik.

Jika terdapat mana-mana lembaran al-Quran yang sudah reput atau sudah tidak dapat digunakan lagi, maka tidak mengapa menghapuskannya dengan cara membakarnya. Ini adalah untuk mengelakkan al-Quran itu dari terdedah kepada penghinaan dan kejian.

Saidina Usman bin Affan pernah memerintahkan membakar mushaf (al-Quran), kecuali al-Quran versinya (Usmani). Ini adalah bertujuan untuk memelihara al-Quran itu. Para sahabat yang lain pula tidak mengengkari perbuatan saidina Usman r.a.

Al-Sayuthi di dalam al-Itqan telah menukilan dua cara yang dibenarkan untuk menghapuskan lembaran al-Quran. Iaitu:
1. Menghapuskannya dengan air.
2. Membakarnya, sebagaimana yang telah dilakukan oleh saidina Usman r.a.

Al-Sayuthi mengatakan bahawa tidak dibenarkan mengoyakkannya.

Ada ulamak yang mengatakan bahawa, membakarnya adalah lebih baik dari menghapuskannya dengan air. Berlainan dengan al-Qadhi Husain yang melarang membakarnya, kerana ia melanggar perlakuan menghormati. Al-Nawawi mengatakan membakarnya sebagai makruh.

Manakala terdapat di dalam sebahagian kitab mazhab Hanafi, jika lembaran al-Quran tidak dapat digunakan, maka hendaklah ditanam di dalam bumi, kemudian hendaklah diletakkan tanda untuk mengelakkan dari dipijak oleh kaki manusia.

Kesimpulan, setelah melihat kepada pendapat-pendapat ulamak di atas, syeikh Athiyah Saqar telah membuat kesimpulan, bahawa membakarnya adalah cara yang paling ringan sekali. Di samping itu, hendaklah kita menjaga niat kita, iaitu untuk memelihara al-Quran itu dari ditimpa penghinaan dan kejian. (Lihat Ahsanul Kalam Fil Fatawa, vo.7, hal. 197)

Wassalam

Rujukan
SJ-1276: Quran Lama
http://al-ahkam.com.my/soaljawab/sj412-420.shtml

0 comments:

Post a Comment