Siri 20: Tamhid Fiqh Sunnah 9
Siri 20: Tamhid #9
Kemudian alSayyid Sabiq mencela amalan bertaqlid kepada sesuatu madzhab fiqih atau Imam tertentu sebagai suatu fenomena kendornya semangat budaya ilmu di kalangan umat. Beliau menulis:
" Mereka (muqallid) mencurahkan segala tenaga untuk membela dan mempertahankannya, sedangkan perkataan Imam itu dianggap sebagai firman Tuhan sendiri, dan mereka tidak berani mengeluarkan fatwa tentang sesuatu masalah bila bertentangan dengan ketetapan Imam mereka." [FS, m.s 28]Syarah:
Ini dinamakan fenomena fanatik madzhab atau taqlid buta. Syaikhul Islam Ibn Taymiyah (w. 728H) berkata,” sikap melebih-lebihkan seseorang Imam (ke atas Imam-imam yang lain) atau mengungguli seorang syaikh ke atas syaikh yang lain, adalah semuanya berdasarkan cakap-cakap orang dan dzann (sangkaan). Yang sebenarnya mereka tidak mengetahaui hakikat sebenar martabat para Imam tersebut tetapi penilaian mereka lebih banyak kepada mengikut hawa nafsu dan tanggapan (persepsi/heresay) semata-mata. “ kemudian Syaikhul Islam membaca ayat 102-105 dari surah Ali Imraan. [Majmuu’ al-Fatawa: 20/291]
Kesimpulannya: sikap fanatik dan ta’asub itu hanya dibolehkan dalam menta’ati Allah dan Rasul-Nya bukan kepada Imam, syaikh atau madzhab tertentu.
Kemudian Pengarang memetik kenyataan Kharkhi sebagai satu contoh fenomena fanatik madzhab yang telah berlaku sekian lama, kata alKharkhi:
“Setiap ayat atau hadith yang menyalahi pendapat sahabat-sahabat kita hendaklah ditakwilkan atau dihapus.”
Syarah:
alKharkhi ialah Abu Hasan Ubaidullah alKharkhi seorang pemuka madzhab Hanafi (w.340H), kata-kata beliau di atas boleh ditemui dalam kumpulan Risalahnya [al-Karkhi, Risalah al-Karkhi , Cairo; al-Maktaba al-Arabiya, ms.84-85, juga Syaikh Muhammad alKhudhari Bek, Tarikh Tasyri’ al-Islami, Cairo: Makabah Tijariyah alKubro/ ms.338]
Ulas Imam alMuhaddith Nasiruddin al-Albani: "sikap ini semakin ketara dan berleluasa hingga kini, di mana telah menjadi suatu sikap yang lumrah bagi para muqallid ini menolak hadith-hadith sahih kerana sifat fanatik madzhab. Jika dikatakan kepada mereka,” amalan itu bercanggah dengan sunnah”. Jawapan mereka ialah apakah anda lebih tahu tentang sunnah dari para ulama’ madzhab kami? (Nuruddin Thalib, Maqallat al-Albani, Makalah #3, Riyadh, ms 44)
Seterusnya alSayid Sabiq terus menghentam taqlid dan ta’asub madzhab sebagai sebab hilangnya umat untuk memperoleh petunjuk dari alKitab dan Sunnah.
Syarah:
Sikap keras alSayyid ini berbedza sedikit dari Mursyidnya (Ust al-Banna), kerana kita tahu sikap Mursyid Hasan al-Banna adalah lebih lembut dan toleran terhadap amalan bermadzhab. Pendapat Sayyid Sabiq ini sama dengan pendirian keras alMa’syumi alKhujandi (ulama’ kelahiran Khujandah, Transoxiana (Asia Timur milik Russia), kemudian menjadi warga Saudi dan wafat di Mekah pada tahun 1380H. Beliau sempat bertemu Syaikh Rashid Ridha di Mesir) dalam kitabnya yang masyhur, Hadiah alSulthan, tahqiq Syaikh Salim bin ‘Ied alHilali, ms 76, berkata RasuluLlah saw tidak mewajibkan umatnya mengikuti mana-mana madzhab bahkan baginda mewajibkan umatnya hanya mengikuti baginda.
Syarah:
Sebagai perbandingan, apa kata Ustaz Hasan alBanna dalam Usyul Asyriin nya?
Usyul #7 dari Usyul 20:
“Setiap muslim yang belum sampai ke tahap nazhar (mampu meneliti) dalil-dalil hukum furu’iyah (cabang), maka hendaklah mengikut mana-mana Imam.agama. Ada baiknyajuga disamping ittiba’ (ikutan berdalil), dia hendaklah berijtihad sekadar kemampuannya untuk mengetahui dalil-dalil. Ia juga hendaklah menerima tunjuk ajar yang berserta dengan dalil, sekiranya pasti kebaikan mereka dan keilmuannya. Jika ia dari kalangan ilmuan (ahlil ‘ilm), maka ia hendaklah mencukupi kekurangan ilmiyahnya sehingga ia mampu mencapai martabat nadzhar.”
Syarh Usyul ke7:
Nadzhar (النظر) yang dimaksudkan oleh alBanna ialah cara atau metod untuk mengetahui hukum-hakam apabila telah cukup syarat. Syarat-syarat nadzhar ialah antaranya menguasai ilmu-ilmu syara’, usyuluddin, dan bahasa arab.
Maka dari usyul ke 7 ini alBanna dengan mudah sekali menghuraikan polemik umat Islam yang saling tuduh menuduh, ada yang kata taqlid haram, ada pula kata taqlid wajib. Jalan tengah alBanna ialah mudah sahaja, bagi yang tidak mampu nadzhar (ijtihad) boleh bertaqlid kepada mana-mana Imam. Jika mengikuti Imam dan tunjuk ajar mereka, sebaiknya seseorang berusaha mengetahui dalil. Bagi yang berkemampuan, hendaklah berusaha menyempurnakan ilmunya hingga dia mampu berijtihad. (terjemahan syarah Usyul Asyriin oleh Syaikh Qasim alWasyli, Jakarta: Intermedia , ms 217)
Rumusan: taqlid, ittiba’ dan ijtihad sebenarnya diserahkan kepada kemampuan individu tapi Islam memerintahkan manusia memiliki ilmu pengetahuan. Maka pendapat yang mengharamkan taqlid atau mewajibkannya merupakan pendapat yg agak keras.
Kemudian alSayyid berkata, ..” kemudian timbul pula pendapat bahawa pintu ijtihad telah tertutup kemudian masyarakat menganggap pendapat-pendapat fuqaha’ atau madzhab itulah syari’at…” [ms 28]
Syarah:
Pintu ijtihad ditutup secara resmi pada abad ke 7H dengan kemusnahan Baghdad di tangan Monggol dan berakhirnya Dawlah Abbasiyah. Alasan mereka ialah semua isu fiqih telah dibukukan dan umat Islam hanya wajib berpegang (taqlid) kepada salah satu empat madzhab muktabarah (Muhammad Husin alZahabii, al-Syari’ah al-Islamiyah, Cairo: Daar alkutub al-Hadith, ms 12, Prof Hasbi Siddiqiey, Pengantar Ilmu Fiqh, Jakarta: PT Rizki Putra, ms 82).
Syaikh Abdul Rahman Abd Khaliq, syaikh Kuwait menjelaskan akibat dari penutupan pintu ijtihaad ini, telah mendatangkan malapetaka besar, antaranya:
1. timbulnya taqlid dan terhentinya perbahasan dalil, juga terhentinya aktiviti ilmu memecah masalah fiqhiyah
2. munculnya fanatisme (ta’asub) yang membaca ke kancah permusuhan dan peperangan
3. munculnya sangkaan bahawa semua pendapat para Imam itu benar
4. menutup laluan kepada ummat untuk menyuarakan pendapat yang sahih hanya kerana berlawanan dengan madzhab yang empat
5. mencegah ummat mengadakan perbahasan dan penelitian hukum terhadap hal-hal yang baru muncul
6. menjadikan taqlid sebagai pegangan agama yang tidak boleh ditentang
7. timbulnya perpecahan kerana dugaan setiap muslim harus memilih salah satu madzhab yang empat
8. kawalan agama semakin longgar kerana umat lebih ta’at kepada madzhab melebihi dari Allah dan Rasul-Nya
9. amalan bermadzhab menimbulkan sikap talfiq (mempermudah dan mencari hukum) yang senang-senang dari madzhab)
10. terlalu mengagungkan Imam hingga melihat mereka berstatus maksum. (alSalafiyuna wa aimmatul Arba’ah, Kuwait: Dar asSalafiyah, 1984)
Kemudian alSayyid berkata, keburukan bermadzhab yang parah ialah:
“orang yang menyalahi ucapan-ucapan fuqaha’ itu dipandang ahli bid’ah hingga ucapannya itu tidak dapat dipercaya dan fatwanya tidak boleh diterima.
Syarh:
Itulah nasib yang diterima oleh Syaikhul Islam Ibn Taymiyah, muridnya alhafidz Ibn Qayyim alJauzia, atau Imam Muhammad Abdul Wahab yang dikatakan pendiri madzhab ke 5 (kelima). Syaikhul Islam Ibn Taymiyah pernah dituduh kafir dan dijail beberapa kali hatta meninggal di dalam penjara. (Dr Abu Aminah Bilal Phillips, Tarikh alMadzhab alFiqhiyah/112)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment