FS1-Siri 32: Fiqh Thaharah 11- Najasah
2. Darah ( الدم , ad-Dam)
Darah yang dihukumkan najis oleh alSayyid ialah darah yang mengalir atau tertumpah, misalnya darah yang mengalir dari hewan sembelihan, atau darah haidh. Dima’afkan kalau sedikit. Dalilnya ialah Firman Allah SWT:
أو دما مسفوحا (AQT al-An’am 6: 145), terjemahnya,” atau darah yang mengalir” Kata Ibn Mundzier, maksud darah yang masfuha ialah darah yang mengalir atau terpancar deras sedangkan darah yang terdapat dalam urat-urat itu tidak mengapa. (Dikeluarkan oleh Ibn Mundzir). Takhriij/Tahqiq/Syarah: Ibn Mundzir, wafat 318H, menukilkan dalam kitabnya al-Awsath, 1/82, juga dinukilkan oleh Imam al-Quthubi dalam tafsirnya, 5/378), Ibn Juraij atau Abu Khalid Abd Malik bin Abd Aziz bin Juraij, tabi’in generasi ke lima, w. 150H.
Abu Mijlaz (أبو مجلز) diajukan soalan mengenai darah beku yang terdapat pada tempat sembelihan lembu (dilehernya), ujarnya,”Tidak apa-apa, yang dilarang ialah darah mengalir (masfuha). (Dikeluarkan oleh ‘Abdun bin Hamid dan Abu Syaikh). Tahqiq: Abu Mijlaz atau Laahiq bin Humaid alBasrahi, tabi’in, w. 100H)
‘Abdun bin Hamid ialah al-hafidz Abu Muhammad, Abdul Hamid bin Nasyr, dalam kitabnya Musnad alKabir, w. 249H; Abu Syaikh sebenarnya ialah Abu alSyaikh, Imam alHafidz Abu Muhammad Abdullah bin Muhammad bin Ja’afar bin Hayyan w. 369H
Kemudian al-Sayyid menyebut empat atsar:
Pertama: dari ‘Aisyah ra , ، والدم خطوط عل القدر كنا نأكل اللحم Terjemahnya: “Kami makan (gulai) daging, sedangkan darah timbul di permukaan periuk berbenang-benang”; tahqiq: atsar ini sahih dan digunakan oleh madzhab Hanbali sebagai hukum, bahawa darah dalam daging dan uratnya (otot) adalah tidak najis (alMughni, 1/30 dan 2/78-79), atsar ini juga terdapat dalam Fiqh Thaharah alQardhawi (cet al-Kautsar, ms 34); al-Albani mendiamkan dari membuat komentar akan atsar ini dalam Tamam alMinnah menandakan kesahihannya.
Kedua: dari al-Hasan, “ ما زال المسلمون يصلون في جراحاتهم
Terjemahnya: “Kaum Muslimin tetap melakukan solat dengan luka-luka mereka.” (HR alBukhari) Tahqiq al-Albani dalam Tamam alMinnah: Atsar ini tidak ada sanad kerana ia mu’allaq (tanpa sanad, lihat sahih alBukhari, 1/336)), wbmnp atsar ini mausul (bersambung sanadnya dan sahih) bila alhafidz Ibn Abi Syaibah menyambungkan sanadnya dalam alMusyanif beliau. (alHafidz dalam Fath alBari (1/281)
Ketiga: riwayat yang sah dari Umar (alKhattab) ra, bahawa ia solat sedang lukanya masih berdarah.” (alHafidz dalam alFath) Tahqiq: ada dalam sahih alBukhari, kitab alWudhu’ (1/334), alMuwatta (82) Sunan alKubra alBaihaqi (1/357), sahih menurut al-Albani dalam al-Irwaa’ 1/209 dari al-Miswar bin Makhramah ra dan Urwah bin alZubair ra.
Keempat: dari Abu Hurairah ra yang berkata,” tidak apa-apa dbawa solat kalau hanya setitis atau dua titis darah.” Tahqiq al-Albani dalam Tamam alMinnah: atsar ini dha’if. Sanadnya boleh ditemui dalam alMusannaf Ibn Abi Syaibah (1/137) dari jalur Syarik >Imran bin Muslim > Mujahid > Abu Hurayrah. Syarik atau Ibn Abdullah alQadhi adalah seorang perawi yang dha’if.
Kemudian hukum darah nyamuk dan darah yang menetes dari bisul. alSayyid mengatakan ia termasuk najis yang dima’afkan. Ia berhujah dengan atsar Abu Mijlaz dan pendapat Syaikhul Islam Ibn Taymiyah al-Harani yang mengatakan tiada nas yang menyatakan kenajisannya. Tahqiq: pendapat Syaikhul Islam Ibn Taymiyah ini bersumber dari Imam Ahmad Ibn Hanbal yang diajukan soalan mengenai nanah. Jawab Imam Ahmad, nanah lebih ringan dari hukum darah yang banyak dibahaskan orang. (alhafidz Ibn Qayyim, al-Ighatsah, 1/240)
Rumusan Hukum darah dalam Fiqh Thaharah.
Najis atau tidak darah merupakan sesuatu yang amat sulit memutuskannya. Ini kerana terdapat IJMA’ (kesepakatan) ulama’ dalam kenajisan darah yang banyak (darah masfuha). Ijmaa’ ni disahkan oleh Ibn Hazm (Maratib al-Ijmaa’, 19), Ibn Abdil Barr, Ibn al-Arabi dan Imam syarf anNawawi.
Fiqh Sunnah yang dibawa oleh Sayyid Sabiq membuka semula fail Ijma’ kepada kajian yang baru, maka muncullah pendapat al-Syaukani mengenai kesucian darah berdasarkan hujah-hujah di atas. Prof al-Qardhawi (Fiqh Thaharah) memihak kepada hukum sucinya darah manusia dan haiwan yang boleh dimakan. Ini juga pendapat al-Albani dalam Fatawa alMadinah alMunawwarah, juga pendapat Samahah Syaikh Muhammad Soleh al-Uthaimin dalam Syarh alMumti’(1/376) Hujah mereka, yang dimaksudkan kenajisan darah hanyalah darah haidh sahaja. Tapi kalau kita teliti akan fiqih yang dipilih oleh alSayyid, darah yang najis menurut fiqh sunnah ialah darah yang banyak. Tamat dan kita kembalikan khilaf ini kepada Allah SWT. WA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment