Topik ini amat sensitif kerana ia menjadi polemik fiqh sejak zaman dahulu lagi hingga kini di mana perbahasan mengenainya tetap berlangsung di dunia Islam, terutama dari aliran hadith dan atsar vs aliran ra'yi (rasio).
SS berkata," Diketahui masuknya bulan Ramadhan dengan jalan rukyah hilal (melihat anak bulan tsabit) di ufuk walaupun dari seorang sahaja yang bersifat adil ATAU dengan menghitung bulan Sya'ban cukup 30 hari."
Syarh:
Oleh kerana sulit menentukan permulaan dan akhirnya sesuatu bulan, maka timbullah perselisihan fiqh dalam soal penentuan permulaan dan penamatan ibadah seperti puasa dan Haji.
al-Qardhawi (Fiqh Siyyam) menarik perhatian kita kepada dua isu:
Pertama: fiqh alMaqosyid (rasional) kenapa Allah memilih bulan ibadah berdasarkan kalendar lunar (bulan), antaranya ialah:
1. Allah telah menetapkan orang Islam dengan kalendar lunar:
Dalilnya:
يَسْأَلُونَكَ عَنِ الأهِلَّةِ قُلْ هِيَ مَوَاقِيتُ لِلنَّاسِ وَالْحَجّ
AQT 2. 189. Mereka bertanya kepadamu tentang bulan sabit. Katakanlah: "Bulan sabit itu adalah tanda-tanda waktu bagi manusia dan (bagi ibadat) haji.."
2. bulan qamariah beredar di sepanjang musim dalam setahun. Ini amat ketara pada negara-negara yang mana mengalami empat musim yang ketara yakni panas, sejuk, gugur dan bunga (winter, summer, fall and spring). Bagi negara tropika seperti Malaysia, ia tidaklah membawa banyak perbedaan, cuma peredaran itu berlaku pada musim kemarau dan tengkujuh. Tujuannya umat Islam dapat merasai kelainan berpuasa di titik tertentu di sepanjang musim.
3. Sifat kalendar lunar ialah bilangan harinya samada 29 atau 30. Ia ditetapkan melalui hadith (Lu' lu wal marjan, hadith no 654, 655, dan 658) dan kajian ilmu falak. Walaupun bilangan harinya samada 29 atau 30, pahala puasanya tetap sama, berdasarkan hadith: " dua bulan yang pahalanya tidak berkurang, iaitu dua bulan Id: Ramadhan dan Zulhijjah.
(Lu' lu' wal Marjaan, no 659 (TBC)
[Kiriman pemanas sesi menandanya bermulanya siri kuliah ilmu di AFN]
==================
Kenyataan SS (sayyid Sabiq) mengundang suatu tandatanya, apakah menetapkan permulaan puasa dan Raya hanya berdasarkan rukyah? Apakah isu ini tidak boleh dibuka semula?
al-Qardhawi dalam tiga kitabnya: Fiqh Siyyam, Kayfa nata'amalu ma'aa asSunnah anNabawiyah dan Fatawa Mu'asirat menetapkan kaedah Hisab merupakan alternatif kedua yang valid dan boleh diterima sebagai jalan utk menentukan permulaan ibadah puasa dan Raya ('Ied). Kaedah yang digunapakai oleh Dr al-Qardhawi ialah " Wasilah (metod) yang pelbagai utk mencapai matlamat yang tetap" Matlamat yang tetap dalam isu ini ialah menetapkan permulaan puasa, maka wasilahnya bukan satu dan rigid, bahkan ia pelbagai sesuai dengan kemajuan ilmu yang dimiliki manusia. Penetapan melalui wasilah rukyah hilal (melihat anak bulan tsabit) merupakan wasilah yang logik ketika ummat ketika itu ummi dan ilmu falak yang masih diperingkat dzanni. Yang mendokong kewajaran penggunaan falakiah (astronomi) dalam pengiraan permulaan bulan ialah universiti al-Azhar, Syaikh al-Maraghi, syaikh Mahmood Syaltut dan Dr Ali al-Sais ketika membentangkan kertas kerja di persidangan Fiqh Islam ke 3, tahun 1966 di Cairo. Idea penggunaan falak juga didokong oleh syaikh alMuhaddith Ahmad Syakir. Di Nusantara yang mendokong penggunaan falak sebagai alternatif ialah ustaz Hasan Bandung dan anaknya Abd Qadir Hasan.
Selepas ini kita halusi dalil-dalilnya dan bagaimana ia menjadi punca khilaf fiqhi dalam permasalahan penetapan permulaan puasa...tbc
*********************
SS mengemukakan dua dalil hadith:
[S] Hadith # 163, dari Ibn Umar ra (beliau merupakan putranya Umar al-Khattab, dan salah seorang empat Abadillah dalam hadith, wafat di kota Mekah pada tahun 73H, perawi kepada 1630 hadit) (bahawa Nabi saw bersabda)
تراءى الناس الهلال فأخبرت رسول الله صلى الله عليه وسلم أني رأيته فصامه وأمر الناس بصيامه
Terjemahnya: “Orang ramai mengintai hilal (bulan sabit), lalu aku khabarkan kepada RasuluLlah (SAW) bahawa aku (Ibn Umar) benar-benar melihatnya. Lalu baginda berpuasa dan memerintah orang ramai agar berpuasa.” [HR Abu Daud, al-Hakim dan Ibn Hibban yang sama-sama mengesahkannya] Takhriij/tahqiq: sunan Abu Daud (kitab as-Syaum, no 2342, hadith ini didiamkan oleh ahli Makkah, tanda ianya sahih), al-Haakim (al-Mustadrak, 1/423, sahih atas syarat Muslim, dipersetujui oleh al-Zahabi) dan Ibn Hibban dalam sahihnya (#3438) Komentar Daruqutni, Cuma pada jalur perawi Marwan bin Muhammad dari Ibn Wahab, keduanya tsiqah menurut alMundziri. Al-Albani mensahihkan hadith ini dalam al-Irwaa’ (907)[S] Hadith #164, dari Abu Hurayrah ra: (bahawa baginda bersabda)
صوموا لرؤيته وأفطروا لرؤيته فإن غم عليكم فأكملوا عدة شعبان ثلاثين يوما
Terjemahnya: “Berpuasalah jika kamu jika melihatnya (hilal Ramadhan) dan berbukalah bila melihatnya (hilal syawal). Jika terhalang oleh awan, maka genapkanlah bilangan Sya’ban itu 30 hari.”[Bukhari-Muslim] Takhriij, Bukhari (1909), Muslim (1081) dengan sedikit perbedaan matan, adapun lafadz dalam fiqh sunnah ditemui dalam Sail aljarar oleh Imam Syaukani (2/212)
Syarh: SS telah meninggalkan hadith dari Ibn Umar yang menjadi dasar dalam perbahasan titik permulaan puasa dan Raya. Hadith itu adalah seperti berikut:
سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول : إذا رأيتموه فصوموا ، وإذا رأيتموه فأفطروا ، فإن غم عليكم فاقدروا له
Terjemahnya: dari Ibn Umar ra, aku dengar Nabi SAW bersabda,” Jika kalian melihat nya (bulan sabit), maka berpuasalah dan jika kalian melihatnya lagi (hilal Syawal), maka berbukalah (berayalah) dan jika pandangan kalian terhalang (keranan mendung) maka perkiralah.” (Muttafaq ‘alaih, Bukhari (1900), Muslim (1080)Perbahasan permulaan puasa dan Raya (‘Ied) tertumpu pada hadith2 dalil di atas, khususnya kepada hadith ketiga dari Ibn Umar di atas yang ada kalimah (فاقدروا)…apakah maksud kalimah ini dan impaknya pada hukum
TBC
======================
Assalamualaikum
topik yang menarik memandangkan ramadhan dah dekat. sebagai penambah perisa, izinkan ana bertanye soalan Bad Teeth
harap sheikh THTL dapat menerangkan berkenaan:-
1)mengapa sekarang ni kaedah falak lebih diutamakan berbanding rukyah?
2)benarkah wajibnyer semua umat islam berpuase serentak apabila mane2 negara islam telah mula berpuase?
3)adakah penetapan tarikh puasa ini tugas mutlak khalifah? sekarang ni dah takder khalifah, so macam mane? adakah boleh kiter melanggar penetapan pihak pemerintah setempat untuk berpuasa lebih awal (bersame dengan negara islam yang dah puasa lebih awal)?
4)jika kiter menggunakan kaedah rukyah, maka kenyataan seorang yg adil memadai menetapkan tarikh berpuasa. persoalannyer, macam mane nak tau die tu adil&bukan munafik?
jangan marah sheikh..ana pernah berdebat dengan HT dulu tentang penetapan tarikh puasa ni, tapi persoalan2 tu yang membuat ana keliru Arf
Wassalamualakum
*******************
SS tidak membahaskan hadith-hadith dalil yang dikemukakan dan beranggapan ia suatu yang ijma’ (yakni penetapan permulaan puasa ialah melalui rukyah hilal sahaja. Syaikhul Islam Ibn Taymiyah adalah yang paling ketara kerasnya dalam masalah penetapan permulaan puasa di mana cara salaf dan ijma' kaum salaf ialah dgn cara melihat rukyah sahaja (al-Fatawa Jld 25). Fatawa Syaikhul Islam inilah yang diterimapakai oleh Lajnah Daimah dan fatwa KSA.
Tapi tidak sedemikian kata Prof Dr Syaikhul Islam al-Qaradhawi (Fiqh Siyyam/40), ini kerana ia masih khilaf sebenarnya. Penetapan permulaan Ramadhan (puasa) bisa ditetapkan melalui tiga cara:
1. Rukyah Hilal (jumhur dan pilihan ahli hadith/salafiyah)
2. Menyempurnakan sya'ban 30 hari (jumhur/salafiyah)
3. Ilmu Falak astronomi (hisabiah) (minoriti dan fuqaha' mutaakhirin)
Ia berpunca dari matn hadith Ibn Umar yang kita paparkan sebelum ini 3/X
فإن غم عليكم فاقدروا له
Khilafnya ialah cara pembacaan dan pemahaman kalimah 'faqduru'
Kalimah 'faqduru' bermaksudkan 'sempitkan Sya'ban" kepada 29 hari dan boleh berpuasa esoknya. Ini pendapat Imam Ahmad ibn Hanbal tapi tidak popular. Jumhur pula memahami faqduru dgn maksud tetapkan hisabnya dan sempurnakan Sya'ban 30 hari. Inilah pegangan majoriti fuqaha'.
Manakala salah satu lagi maksud 'faqduru' ialah penggunakan Hisab astronomi. Ia datang dari tabi'ien, Mithraf bin Abdullah, seorang tokoh madzhab Syafi'iy, Abul Abbas bin Suraij dan Ibn Qutaibah (bu Muhammad ‘Abdullaah bin Muslim Ibn Qutaybah Ad-Dinawaree. w. 276H Kufah)
Ibn Suraij al-Syafi'iy menukilkan dari al-Qadhi Ibn al-Arabi. bahawa 'faqduru' (perkiralah) itu merujuk pada ahli falaq, maka kepada orang awam, bermaksud genapkan Sya'ban 30 hari. kerana itu adalah mudah bagi mereka.
Perjuangan penggunaan hisab falakiah ini yang dipelopori oleh Ibn Suraij diperjuangkan oleh al-Azhar, gedung ilmu umat Islam dan ulama-ulama Mesir, antaranya allamah Syeikh Sayyid Rashid Ridha dalam al-Manar, Syaikh Dr Mustafa al-Zarqa', Prof Dr Muhammad ali al-Says, al-Muhaddith Syaikh Ahmad Syakir melalui bukunya "al-Awail al-Syuhur al-Arabiyah" dan Dr al-Qardhawi sendiri.
Jalan keluar al-Qardhawi dari kekuatan hujah yang dipegang oleh Jumhur ialah berkompromi di antara kesahihah nas yang memerintahkan melihat rukyah hilal, tapi di waktu yg sama kita tidak mensia-siakan kemantapan ilmu Falak yang ada sekarang. Jalan kompromi itu ialah menjadikan kaedah Hisab sebagai alat pembantu kepada kaedah Rukyah terutama dalam kes penafian. Yakni bila ada seorang mendakwa dia telah melihat anak bulan, sedangkan dalam perkiraan hisab, tidak mungkin anak bulan akan kelihatan lagi atau cuaca seluruh negara adalah mendung, maka ketika itu perkhabaran seseorang itu dapat dikoreksi oleh kaedah Hisab. inilah maksud kaedah Hisab dapat diguna sebagai alat penafian bila timbul keraguan dalam kaedah Rukyah hilal oleh seseorang. Inilah yang digunapakai di Malaysia sekarang. Begitu juga penggunaan peralatan canggih spt teropong telescope utk membantu ketika cuaca mendung dan berawan. TBC
************************
FS 3.6.5 Perkhabaran dari orang Adil
Berkata SS memetik rumusan Imam Abu Isa atTermidzi (w. 279H) yang dilapurkan berkata menjadi amalan sebahagian ulama bahawa penetapan masuk puasa dapat diterima kesaksian seorang lelaki (yang melihat hilal). Inilah pilihan madzhab Ibn Mubarak, Syafi’iy dan Ahmad. Kata anNawawi (w. 676H) inilah yang lebih kuat.
Tahqiq: Tahqiq an-Nawawi itu ditemui dalam al-Majmu’ (6/289). Kenyataan Imam atTermidzi itu dalam naskhah asal ialah majoriti ahli ilmu dan bukan sebahagian (naskhah terjemahan), maksudnya jumhur fuqaha’. Selain yang dinyatakan, termasuk jumhur ialah madzhab Hanafi dan Zahiri. Pilihan Syaikh Ibn Uthaimin dalam Majalis Syahr Ramadhan (ms 33), seorang saksi adalah lebih tepat dan mencukupi sesuai dgn hadith yg lebih sahih (dari Ibn Umar). Syarat seorang yang adil itu menurut beliau ialah baligh, berakal, amanah dan ia menyaksikan hilal. Dalam syarh Mumti’ (6/323), ada perincian sifat adil: seorang yg bertanggungjawab (melaksanakan yg wajib), berpekerti mulia, tidak melakukan dosa besar dan tidak kekal melakukan dosa2 kecil. Al-Qardhawi pulak menjelaskan ia isu khilafiah yang boleh diputuskan oleh Imam atau Hakim. Ini kerana ada tiga pendapat: cukup dgn kesaksian seorang yg adil, mesti dua orang saksi, manakala salah satu pendapat Hanafiah, jika cuaca berjerebu atau mendong, cukup dgn seorang, tapi jika cuaca baik, mesti beberapa orang (Fiqhu Siyyam/41. Pendapat ini agak pelik. Hujah madzhab Hanafi ialah jika cuaca mendung memadai seorang kerana kesulitan menyaksikannya, manakala jika cuaca terang, maka ia memerlukan ramai saksi. Ini kerana jika cuaca terang, hanya seorang saja yg nampak, sedangkan yg lain tak nampak, maka ia sesuatu yang meragukan.
Tapi nampaknya al-Qardhawi tidak kisah dgn jumlah yg menyaksikan, tapi kena dibantu oleh fiqh falakiah (astronomi) utk menguatkan atau menafikan kesaksian.
Penetapan 1 syawal lain pula perbahasannya. TBC
************************
FS 3.6.6 Penetapan Hilal Syawal
Berkata SS, tidak memadai dengan kesaksian hanya seorang laki-laki sahaja. Demikian pendapat umumnya fuqaha’. Kemudian SS merincikan fuqaha’ yang membantah keperluan kesakian dua saksi utk hilal syawal. Mereka terdiri dari Abu Tsaur, Ibn Munzir, Ibn Hazm, Ibn Rusyd dan pendapat pilihan Imam al-Syawkani. Ibn Mundzir di petik oleh Ibn Rusyd menyatakan cukup satu orang sebagai saksi hilal Ramadhan dan syawal adalah ijma’ ulama’.
Syarah: Abu Tsaur ialah Imam al-Muhaddith al-Faqih Abu Tsaur Ibrahim bin Khalid merupakan tokoh tabi’in kota Baghdad, wafat 240H (al-Syirazi, Tabaqat al-Fuqaha’ (92) pendiri madzhab Abu Tsaur yang menggabungkan fiqh dan hadith. Inilah pendapat Ibn Hazm al-Zahiri (w. 456H, al-Muhalla 6/350). Al-Syaukani, muhaqqiq Yaman yg handal menolak pendapat yang mengatakan rukyah hilal syawal mesti dua saksi yg adil, kerana kesaksian satu saksi terpakai utk rukyah hilal ramadhan atau syawal tanpa perlu membedakannya (al-Nayl, 4/188)
Pendapat yang rajih: Ulama’2 biladil haram (Syaikh Salim al-Hilali (sifat Saum anNabiy), Syaikh Ibn Baz, Ibn Uthaimiin, alJibrin, Fatawa Islamiah, Ibn Uthaimin, Majalis Syahru Ramadhan) menetapkan hadith Ibn Umar (cukup dgn satu saksi) dan hadith Abdul Rahman bin Zaid al-Khattab (dua saksi) jika dihimpunkan, membolehkan penetapan hilal Syawal memadai dgn kesaksian seorang lelaki adil sama dgn kesaksian rukyah hilal Ramadhan. Ini juga pendapat al-Qardhawi dan Dr Abdul Karim Zaidan (al-Mufassal) dan pendapat Sayyid Sabiq yang mendokong tarjih al-Syawkani. Sekian
Tambahan hukum yang tidak disentuh oleh SS: apakah kesaksian wanita dapat diterima dalam rukyah hilal Ramadhan/Syawal?
Hanafiah: hilal Ramadhan boleh dgn seorang perempuan, tapi hilal syawal kena satu lelaki dan 2 perempuan;
Syafi’iyah: tidak diterima persaksian perempuan
Hanabilah: kesaksian perempuan dalam rukyah hilal Ramadhan sahaja, tidak utk rukyah syawal (wajib lelaki)
Malikiah: sama spt Syafi’iyah
Zahiri: dapat diterima sama spt lelaki, mencukupi seorang perempuan.
Pendapat pilihan Dr Abdul Karim Zaydan (al-Mufassal) ialah pendapat Zahiri kerana nas-nas tidak menyebut gender, maka ia dianggap terpakai utk semua jantina. Sekian
Rumusan: Penetapan puasa adalah dengan rukyah hilal, tapi Hisab Falakiah (astronomi) sebenarnya sudah matang dan boleh digunakan, ia hanya memerlukan masa untuk diterimapakai oleh fuqaha' yg beraliran hadith. Pada peringkat sekarang menurut al-Qardhawi, Ilmu falak boleh diguna untuk back-up atau menjadi basis untuk menerima kesaksian hilal atau kemungkinan adanya hilal. Ulama' Arab Saudi yg melihat keabsahan astronomi ialah syaikh ali Tantawi (w. 1999)
Adapun bilangan orang yg melihat rukyah hilal baik Ramadhan atau syawal memadai dengan seorang lelaki atau perempuan yang bersifat adil. Tiada diskriminasi gender dalam persaksian rukyah hilal. WA
TBC: 3.6.7 perbedaan matla’
****************************
3.6.7 Ikhtilaf al-Matholi’ (perbedaan matla’ (tempat terbit bulan))
Teks asal: SS berkata, Jumhur menolak perbedzaan matla’ dan menetapkan jika penduduk suatu negeri melihat anak bulan, maka seluruh wilayah Islam akan turut berpuasa dan beraya.
Minoriti (Ikrimah, Qasim bin Muhammad, Salim, Ishak, segolongan Hanafiah dan Syafi’iyah) pula mengambil kira matla’, yakni penduduk satu negeri tertakluk kepada rukyah negeri mereka sahaja. Mereka menggunakan hadith Kuraib yang diutus ke Syria di mana Syria berpuasa sehari awal dari Hijaz. Perbedaan matla’ ini diperakui oleh Ibn Abbas ra. (HR Ahmad, Muslim, Dan Termizi)
Muhaqqiq, Siddiq Hasan Khan, pengarang kitab Fath al-Alam, syarah Bulugh al-Maram (koleksi hadith hukum al-Hafidz Ibn Hajar Asqolani) mendokong pendapat minoriti dan ini juga pendapat Sayyid Sabiq.
Syarah:
Matli’ (matla') adalah tempat terbitnya hilal (anak bulan). Ini kerana kita tahu perbedaan waktu antara kita (Malaysia) dgn England misalnya ialah 8 jam, dengan Hijaz ialah 6 jam. Jika Malaysia melihat hilal, Saudi masih siang. Itulah isu matli’ yang menimbulkan perselisihan fiqh mengenai permulaan puasa dan Raya.
Sebenarnya terdapat tiga (3) pendapat dalam masalah ikhtilaf al-matholi’ (bukannya dua sebagaimana yg didakwa oleh SS):
Pendapat pertama: jumhur itu merujuk pada pegangan madzhab Hanafi, Maliki, dan sebahagian Syafi’iy serta pendapat yang masyhur dalam madzhab Hanbali (al-Majmu’ (6/273, al-Mughni (4/328)) Hujah utama golongan ini ialah keumuman perintah RasuluLlah saw supaya berpuasa bila melihat anak bulan dan kesaksian anak bulan di salah satu wilayah Islam sudah memadai utk semua wilayah yang lain tanpa mengira matla’nya. Ini adalah suatu jalan ke arah kesatuan umat Islam melalui serentak berpuasa dan beraya. (Ibn Abdil Barr, al-Istizkar (10/20)
Pendapat kedua (minoriti): Setiap negara mempunyai matla’nya sendiri dan mereka tidak perlu mengikut matli’ negara lain. Ini pendapat Ikrimah (tabi’in Makkah, w.115H), al-Qassim bin Muhammad (tabi’in dan cucu Abu Bakar a-Siddiq, w. 101H, hidup sezaman Khalifah Umar bin Abdul Aziz), Salim bin Abdullah (cucu Umar al-Khattab, w. 106H) dan Ishaq (beliau ialah Ishaq bin Rahuwaih atau Rahawaih (w.238H), Ibn Mubarak (w.181H, tabi’ tabi’in dan murid kepada Sufyan Tsauri)
Dalilnya ialah hadith Kuraib (mantan hamba Ibn Abbas ra) ketika dia diutus ke Syria di penghujung bulan Sya’ban dan bila tiba di Syam, orang Syam sudah berpuasa kerana anak bulan kelihatan pada malam Juma’at. Bila Kuraib kembali semula ke Madinah, maka dia bertanya Ibn Abbas bila penduduk Madinah berpuasa, dia diberitahu ialah hari Ahad kerana anak bulan kelihatan malam sabtu di Madinah. Kuraib bertanya, apakah rukyah Hilal Syam tidak terpakai utk Hijaz? Ibn Abbas berkata, itulah yg diperintah oleh Nabi saw. “ [sahih, HR Muslim (1087), Abu Daud (2332), al Termidzi (693) dan anNasa’iy ( 2111).
Pendapat ketiga: Wajib negeri2 yang matli’ (tempat terbit bulan) sama berpuasa jika ada persaksian hilal. Inilah pendapat muttakhir dalam madzhab Syafi’iy (Imam Nawawi, alMajmu’ 6/274, Raudhah al-Tolibin (2/348) dan muttakhir madzhab Hanbali dan yg dipilih oleh Syaikhul Islam Ibn Taymiyah ( al-Qawanin alFiqhiyah (103). Manakala negara2 yang tidak sama matli’nya, tidak wajib mengikuti matli’ negara yang jauh darinya. Contoh negara yang tidak sama matli'nya ialah negara2 Arab dengan negara IslamTimur jauh (ASEAN) atau dengan negara2 kesatuan Eropah dan US. Tapi bagi negara ASEAN misalnya, mereka dalam kategori satu matli’ , begitu juga sesama negara2 arab. Sepatutnya negara satu matli' ini satu kesaksian sahaja sudah memadai.
Pendapat yang rajih (terpilih) ialah pendapat ketiga. Demikian ketetapan (qarar) Haiah Kibr ulama’ biladil haram yg dikeluarkan 13/08/1392H (21/09/1972)
Ulama-ulama besar Tanah Haram menghormati ijtihad dan perbedaan pendapat dalam masalah ru’yah dan hisab serta perbedzaan matla’ dan khilaf itu sudah berlaku sejak sekian lama dan ia tidak menimbulkan sebarang mudharat dan masalah kepada kesatuan umat. Keberagaman waktu berpuasa itu biarlah dikekalkan sebagaimana asalnya dan tidak perlu diperbesar-besarkan. Majalah al-buhuth al-Islamiah (28 Syawal, 1410H) Juga Fatwa Lajnah Daimah (10/ms 109)
Ini juga pendapat Dr Abdul Karim Zaydan, alMausu’ah (2/ 231) WA TBC
**************************
3.6.8 Orang yang Melihat Hilal Sendirian
SS berkata, telah sepakat para fuqaha dan imam (aimmah) seseorang yg menyaksikan hilal sendirian, wajib berpuasa. Ketetapan ini dibantah oleh Atha’ yang mengatakan tidak boleh kecuali ada saksi sebagai penguat. Syarah: Ia mengenai isu seseorang yg secara keseorangan mendongak ke langit dan melihat kemunculan hilal dgn yakin tanpa disaksikan oleh sesiapa pun dan di waktu yg sama, pemerintah mengumumkan hilal tidak kelihatan.
Kenyataan di atas dikutip oleh SS dari Ibn Rusyd (Bidayah al-Mujtahid 1/197) dan Ibn Hazm alAndalusi (al-Muhalla, 6/235). Atha’ ialah qadhi besar Mekkah, merupakan tabi’an besar. W. 115H di Makkah, Tahqiq Syaikhul Islam Ibn Taymiyah al-Harani, dalam masalah ini ada dua pendapat:
i) wajib berpuasa bagi beliau sahaja secara sembunyi dari orang ramai. Ini pendapat Syafi’iyah dan Ibn Hazm (al-Majmu’, 6/280) juga pendapat Hanabilah (al-Mughni, 3/156) ia merupakan pendapat jumhur.
ii) tidak boleh berpuasa, wajib ikut masyarakatnya. Dalilnya: hadith Abu Daud: صومكم يوم تصومون
“Berpuasalah kalian dihari semua kamu berpuasa” [sahih, al-Muhaddith al-Albani, al-Irwaa’ (905) dari Abu Hurayrah ra
Ibn Qudamah memilih pendapat pertama, manakala Syaikhul Islam memilih pendapat kedua yakni tidak boleh berpuasa. Pendapat jumhur disandarkan kepada mafhum ayat AQ, AQT 2:185: Karena itu, barangsiapa di antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu
SS meneruskan, dalam masalah rukyah Hilal Syawal (utk berhari raya), para fuqaha’ juga berbeda pendapat. Tapi pendapat yg rajih menurut SS ialah hendaklah dia berbuka sebagai menurut pendapat Imam Syafi’iy (w.204H) dan Abu Tsaur (w.240H). Syarah: Juga ada dua pendapat:
i) wajib berbuka secara sendirian. Ini pendapat Syafi’iyah (al-Majmoo’, 6/310), satu pendapat Hanabilah, Ibn Aqil al-Hanbali (Kasysyaf al-Qina’ (1/506) dan Zahiri (Ibn Hazm).
ii) Tidak boleh berbuka, teruskan berpuasa bersama majoriti rakyat. Ini pendapat Hanafiah (fatawa al-hindiyah 1/197), Malikiah (Qawanin al-Ahkam al-Syari’iyah, 34) dan pendapat yg masyhur dalam Hanabilah (Kasyaf al-Qina’, 1/506)
Jika anda keliru dgn pecahan perbahasan hilal Ramadhan dan hilal Syawal: maka kita cantumkan isu melihat hilal secara sendirian baik ketika masuknya bulan Ramadhan dan munculnya 1 Syawal, akan ada tiga pendapat:
1. Wajib puasa ketika melihat hilal Ramadhan dan wajib berbuka ketika melihat hilal syawal. Ini pendapat Syafi’iy dan Zahiri.
2. Wajib puasa ketika melihat hilal Ramadhan tapi wajib terus berpuasa ketika melihat hilal syawal jika penduduk tempatan masih berpuasa. Ini pendapat jumhur (Hanafi, Maliki dan Hanabilah)
3. Tidak wajib berpuasa dan berbuka kerana individu wajib ikut pemerintah dan ikut orang ramai dalam berpuasa dan berbuka. Ini pendapat Syaikhul Islam Ibn Taymiyah (Majmu’ Fatawa lil Syaikhul Islam, Jld 25/114)
Pendapat pilihan SS ialah pendapat Syafi’iy, berpuasa ketika melihat hilal ramadhan dan berbuka bila melihat hilal Syawal walaupun ia melihat seorang diri. Ini juga pendapat Dr Abdul Karim Zaydan (al-Mufassal) dan Syaikh Abu Malik Kamal Sayyid Salim (Sahih Fiqh Sunnah), manakala pendapat Syaikhul Islam Ibn Taymiyah ialah jika seorang individu terlihat hilal seorang diri, maka dia hendaklah mengenepikan rukyahnya dan kekal mengikuti majoriti penduduk. WA, Allah saja yg Maha mengetahui dalam urusan yg diperselisihkan. TBC
**************************
3.6.9 Rukun Puasa
al-Sayyid menyatakan rukun2 Puasa ada dua:
1. Imsak (menahan diri) dari segala sesuatu yang membatalkan puasa dan
2. Niat.
Koreksi:
Tertib ini agak ganjil kerana kebiasaan kitab2 fiqih meletakkan Niat terlebih dahulu dari Imsak.
Rukun Pertama: Menahan diri (imsak) dari segala yang membatalkan puasa, semenjak terbit fajar hingga terbenam matahari.
Dalil Qur:ani (#165) ialah al-Baqarah: 187
وَكُلُواْ وَاشْرَبُواْ حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ثُمَّ أَتِمُّواْ الصِّيَامَ إِلَى الَّليْلِ
[....dan makan minumlah hingga terang bagimu benang putih dari benang hitam, yaitu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sampai (datang) malam...]
Maksud benang putih dan hitam itu ialah terangnya siang dan gelapnya malam.
Hadith Dalil no 166 dari Adi bin Hatim (dari Bani Tha'i, memeluk Islam pada tahun ke 9H. w. 68H di Kufah (Iraq)) [al-Ishabah, 2/468]
لما نزلت : { حتى يتبين لكم الخيط الأبيض من الخيط الأسود } . عمدت إلى عقال أسود وإلى عقال أبيض ، فجعلتهما تحت وسادتي ، فجعلت أنظر في الليل فلا يستبين لي ، فغدوت على رسول الله صلى الله عليه وسلم فذكرت له ذلك ، فقال : إنما ذلك سواد الليل وبياض النهار
terjemahnya:
Tatkala turun ayat (2:187), aku ambil seutas benang hitam dengan seutas benang putih, lalu aku letak di bawah bantalku dan saya amatinya di waktu malam (hampir waktu fajar) dan ternyata aku tidak dapat membedzakannya. Maka berpagi-pagi lagi aku bergegas menemui lalu aku ceritakan apa yang aku lakukan. Maka Nabi saw bersabda:
"maksudnya ialah hitamnya malam dan terangnya siang." [HR Bukhari-Muslim] Takhriij: sahih Bukhari, 1916, sahih Muslim, 1090.
Syarh: Terjadi kesangsian pada hadith ini kerana terjadi percanggahan fakta. Ini kerana ayat di atas AQ 2:187) turun pada 2 Hijrah, sedangkan Adi bin hatim masuk Islam pada tahun ke 9H. Yang benar ialah ada penjelasan dalam Musnad Imam Ahmad, bahawa apabila Adi masuk Islam, maka RasuluLlah saw mengajar akan dia perihal solat dan puasa lantas baginda membaca ayat ini (2:187), maka beliau (Adi) pulang ke rumah dan mengambil dua utas benang....inilah penjelasan al-Hafidz al-Asqolani dlm al-Fath (4/133)
Adapun maksud benang hitam ialah malam dan benang putih ialah Fajar Sadiq dan bukannya terbit matahari sebagaimana pendapat al-A'masy (al-Majmu', 6/305). Petanda imsak di zaman salaf ialah mereka berhenti sahur bila saja mendengar azan Ibn Ummu Maktum (azan fajar sadiq), tapi meneruskan makan ketika azan Bilal (azan fajar kadzib (fajar dusta)
Ref: Abu Bakar al-Jassas, Ahkam al-Qur:an,1/265); Fatwa Lajnah Daimah KSA, 10/284)
**************************
al-Jawab:
Matnya:
إذا سمع أحدكم النداء والإناء على يده ، فلا يضعه حتى يقضي حاجته منه .
Dari Abu Hurayrah: (sabda baginda saw)
"Apabila salah seorang dari kamu mendengar azan padahal ia sedang makan pada bekasnya, janganlah meletakkannya sehingga ia selesai menunai hajatnya dari itu." [HR Ahmad, Abu Daud dan al-Hakim, disahihkan olehnya dan dipersetujui oleh al-Dzahabi. Dalam versi Ibn Hazm dlm al-Muhalla ada tambahan dari perawi Abu Hurayrah yakni Ibn Abi Amar:
وزاد : وكانوا يؤذنون إذا بزغ الفجر
"Adalah mu'adzin melaungkan azan pabila terbit Fajar."Tahqiq: dinilai sahih oleh al-Albani dalam Tamam al-Minnah (417) dan silsilah al-Sahihah (1394). Tambahan ini dinilai mauquf kepada Abu Hurayrah dan bukannya sabda Nabi saw (Ibn Abi Hatim, al-'Ilal (2/59)
====================
Penjelasan dari Lajnah Hadith AFN:
Tentang status hadis al-Ina' (الإناء) yg disebut Ibn Rusyd, yg Rajih menurut al-Imam Nuqqad Hadis Abu Hatim dlm al-Ilal (hadis no. 340 & 759), hadis dalam bab ni semuanya TIDAK SAHIH kepada Nabi SAW, tapi yg ada cuma [b]Mauquf pada Abu Hurairah..maka sebaiknya kita budget betul2 utk sahur jgn sampai SENGAJA lajak masa.
=====================tamat dari Lajnah hadith AFN
Kemudian hadith Umar itu pula adalah mursal, maksudnya hadith dha'if.
Isu: apakah seseorang wajib berhenti makan ketika azan dikumandangkan dan apakah tindakan sewajarnya: meneruskan makan hingga selesai atau berhenti serta merta dan memuntahkan saki baki dalam mulut?
Kata Imam Nawawi: kesepakatan fuqaha' ialah bila seseorang sedang makan dan kedengaran azan subuh, maka dia hendaklah mengeluarkan makanan dari mulutnya dgn serta merta. (al-Majmu' (6/333)
Komentar al-Baihaqi mengenai hadith Abu Haurayrah di atas. Jika hadith itu sahih, ia bermaksud, azan pertama yakni azan Bilal. Tambahan itu adalah bukan dari Abu Hurayrah, jika tambahan itu sahih sekalipun ia menandakan kena berhenti makan bila mendengar azan kedua: azan Ibn Umi Maktum.
Komentar Ibn Qayyim (tahdzib as-Sunan)
Jumhur (termasuk empat Imam besar) menetapkan wajib berhenti serta merta ketika mendengar azan.
Fatwa syaikh Abdullah ben Baz: Wajib berhenti makan jika mendengar azan subuh dan yakin waktu Fajar sudah masuk. Zaman sekarang sudah diketahui kerana sudah ada kalendar masuk waktu solat yg sudah dicetak (Fataw Ramadhan (201)
Fatwa Syaikh Ibn Uthaimiin: Jika kamu masih yakin fajar belum masuk walaupun azan dikumandangkan, maka masih boleh makan. Tapi jalan selamat ialah berhenti serta merta jika azan dilaungkan dan kita yakin Fajar sudah terbit (ibid)
Yang membolehkan beramal dgn zahir hadith Abu Hurairah ialah Ibn Hazm, yakni boleh terus makan jika sedang makan dan minum. Ini kerana AQ tidak merincikan secara pemutus hanya menggunakan istilah benang hitam dan putih. yang menyokong ialah al-Albani (tamam al-Minnah) dan al-Qardhawi. kerana ini adalah madzhab Umar dan Ibn Abbas.
Pendapat pilihan: Ikut Lajnah KSA, boleh makan tapi sebagai langkah berhati-hati, elok sangat berhenti makan sebaik sahaja mendengar azan subuh dan disahkan dgn jam dan kalendar solat yang dikeluarkan oleh Pemerintah.
Ini kerana pendapat jumhur (terlalu syadid),manakala pendapat Ibn Hazam dan al-Albani terlalu longgar, sedangkan fatwa ulama KSA adalah Moderat, boleh makan tapi sebagai langkah berhati-hati, lebih baik berhenti. sekian
**********************
3.6.10 Rukun Puasa yang pertama:Imsak (Bah 2)
Huraian tambahan al-Qardhawi:
Maksud 'imsak' ialah menahan diri dari nafsu makan, minum, hubungan seks apa jua yg semisal dengannya di sepanjang hari berpuasa.
Maksud 'apa jua yg semisal dengannya' ialah pemenuhan selera yang biasa dilakukan meskipun bukan dinamakan makan dan minum, ia adalah tabi'at sebahagian manusia yg sampai ke tahap ketagihan dan lebih penting dari makan dan minum, antaranya:
1. Mengambil tembakau dan produknya:
i) merokok
ii). menghisap syisyah (paip panjang yang biasa ditemui di negara2 arab dan cafe2 arab)
iii). mengunyah sirih pinang
iv). songel tembakau (mengunyah tembakau) selalunya oleh kaum asli
Ia ijma' membatalkan puasa jika dilakukan pada waktu puasa.
2. Pengambilan dadah
Baik secara hidu, sedut, suntikan atau telan, antaranya ganja, heroin, kokain, pil khayal dan ectacy, dan semisalnya
3. mengambil sesuatu melalui mulut walapun dalam keadaan tiada selera atau tiada nikmat makan. Ini berlaku pada orang sakit sa'at ia mengambil ubat-ubatan melalui mulut dengan bentuk sedutan, telan, atau hisap, Ini kerana orang yang dakit disarankan berbuka dan qadha pada hari yang lain.
4. Aktiviti seksual selain hubungan seks yang membatalkan puasa ialah mengeluarkan mani dengan sengaja melalui onani (melancap), melihat aurat dengan berulang-ulang, bercumbu-cumbuan, atau apa jua aktiviti rangsangan seks hingga keluar mani, maka puasanya batal.
Itulah maksud 'IMSAK' dalam fiqh Puasa. (al-Qardhawi, Fiqh Siyam, 102, edisi terjemaahan)
_________________
3.6.11 Rukun Puasa ke2: Niat Puasa
Dalil Qur:ani (no 167)
وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّي
AQT 98 (al-Bayyinah) 05: "Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan keta'atan kepada-Nya..."
Tafsirnya (tafsir al-Munir):
Ibadah bukan tiket ke syurga atau menjauhkan dari Neraka, akan tetapi ibadah adalah kerana status kita sebagai hamba dan Allah adalah Tuhan. Andainya disebalik ibadah itu tiada sebarang ganjaran sekalipun, maka wajib kita melakukan ibadah atas dasar ubudiah semata-mata.
Ayat ini juga menjadi dalil kepada keikhlasan dalam ibadah, yakni melakukan ibadah dgn mengharapkan keredaan-Nya. Manakala niat adalah wajib dalam setiap ibadat utk membedakan ia dari adat dan aktiviti kebiasaan.
[S]Dalil hadith:
إنما الأعمال بالنية . وإنما لامرئ ما نوى
"Setiap amal hanyalah dgn niat dan setiap orang akan memperolehi apa yg dia niatkan." [HR Muslim dari amir almukminin Umar ra, matn arba'iin anNawawiyah, no 1, Muslim, no 1907]بالنية (Dengan niat), penjelasan alhafidz Ibn Qayyim
Huruf Ba (dengan) niat itu adalah bermaksud 'li al-sababiyah' maksudnya 'sebab' bukan bermaksud 'disertai atau dibaringi ' oleh Niat. Fuqaha' yg berpegang dgn isu talaffudz (berlafaz niat) atau memasukkan Niat ke dalam Takbir (semasa solat) menetapkan huruf BA dalam hadith itu ialah "Li al-musyahabah" (disertai). Tapi, yang rajih (lebih benar), huruf BA itu bermaksud li al-sababiyah = sebab bukan disertai.
Kata SS (sayyid Sabiq), Berniat itu sebelum Fajar, pada setiap malam bulan Ramadhan.
[Sahih-Mauquf]Hadith dalil no 168, dari Hafshah (Hafshah adalah ummul mukminin, putri Umar alKhattab, w. 45H semasa pemerintah Mu'awiyah, dikuburkan di Baqi', Madinah AM)
من لم يجمع الصيام قبل الفجر فلا صيام له
"Barangsiapa yang tidak menetapkan puasa sebelum Fajar, maka tiada puasa baginya." [HR Ahmad dan ashab as-Sunan,dinyatakan sah oleh Ibn Khuzaimah dan Ibn Hibban] Takhriij/Tahqiq: Ahmad (25252), Abu Daud (2454), Termidzi (730), anasa'iy (2331), Ibn Majah (1700), Ibn Khuzaimah (1933), Daruqutni (2/172). Hadith ini agak kontroversi dan menimbulkan perbahasan panjang dalam masalah Niat puasa. Hadith ini dinilai mauquf (dha'if) oleh manhaj mutaqaddimun, antaranya al-Bukhari, Abu Daud, anNasa'iy, atTermidzi dan Abu hatim. Tapi disahihkan oleh manhaj mutaakhirin, antaranya Ibn Hazm, al-Hakim, Ibn Jauzi, Daruqutni, al-Albani (sahih Abu Daud 2454), Abdullah al-Bassam, Tawdhih al-Ahkam, maktabah al-Asadi, Makkah (3/464) dan Abu Malik Kamal bin Sayyid Salim (sahih Fiqh Sunnah)Implikasi hadith ini ke atas hukum Niat Puasa:
Tarjih al-Qardhawi (Fiqh assiyyam/105): bagi yang menerima kesahihan hadith ini, maka niat Puasa fardhu ialah pada sebelah malamnya. Inilah pendapat jumhur (Maliki, Syafi'iy dan Hanbali); madzhab Atha' dan azZuhri, tidak perlu niat, kerana puasa itu memadai dgn imsak. Madzhab Maliki pulak, niat hanya memadai pada niat malam pertama sahaja utk sebulan Ramadhan. Hanafi pulak boleh berniat Ramadhan sehingga tengahari pada siangnya.
Tahqiq:
al-Qardhawi cenderong kepada pendapat jumhur, puasa perlu niat pada malam hari setiap malam. Tetapi beliau juga menetapkan pendapat Imam2 lain juga boleh diamalkan. Ini juga fatwa Lajnah Daimah dan Ifta KSA ( (10/246), juga pendapat pilihan al-Sayyid Sabiq.
Tapi Syaikh Ibn Uthaimiin, memilih pendapat Imam Malik, yakni memadai satu Niat utk satu Ramadhan kecuali puasa itu terputus dgn musafir atau sakit, maka kena diulangi Niatnya. (syarh Mumti', 3/370)
Allah saja yg mengetahui urusan yg diperselisihkan. TBC
---------------
sahih-mauquf, maksudnya, sanadnya sahih tapi statusnya Mauquf (terhenti pada sahabat)
Komentar lanjutan dari Lajnah Hadith dan atsar AFN amat dialu-alukan mengenai status sebenar hadith Hafshah bte Umar ra.
--------------Ziyadah/Tambahan dari Lajnah hadith AFN: Doc Fathi
hadis:
" من لم يجمع الصيام قبل الفجر فلا صيام له"
Maksudnya:
Daripada Hafsah isteri Rasulallah S.A.W.: Bahawasanya Rasulallah S.A.W. telah bersabda: sesiapa yang tidak berniat puasa sebelum waktu fajar maka tiada puasa baginya (tidak sah).
Takhrij Ringkas: dikeluarkan oleh Ahmad dalam Musnad (hadis no. 26500), Abu Daud dalam Sunan (hadis no.2454), at-Tirmizi dalam Sunan (hadis no.730), an-Nasaie dalam Sunan al-Kubra (hadis no.2640,2641,2643), al-Baihaqi dalam Sunan al-Kubra (hadis no. 7696,7697,7698,7701,7778,7826,), ad-Darimi dalam Sunan (hadis no. 1698) dan lain-lain dangan lafaz yang sedikit berbeza, semuanya dari jalan Hafsah r.ha. Hadis dari Hafsah ini tntg wajibnya niat puasa Ramadhan dilakukan pada waktu malam ini Tidak Sahih (Mauquf).
Status:
Ia dinilai Tidak Sahih oleh Ahmad, al-Bukhari, at-Tirmizi, an-Nasaie, ad-Darimi, Abu Daud, Abu Hatim dan lain-lain Imam-imam hadis. (rujuk athar ilal hadis fi ikhtilaf Fuqaha, Dr Mahir Yasin al-Fahl) Kata Ibn Hajar dalam Fathul Bari: "berlaku khilaf akan bersambung atau tidaknya hadis ini, dan yang rajih adalah tidak bersambung (mauquf) sebagaimana tarjih Tirmizi dan Nasaie (Fathul Bari: 142/4). Oleh itu adalah tidak wajib niat puasa Ramadhan dilakukan pada malam hari, malah boleh dilakukan pada waktu dhuha, dan ini menguatkan qaul Malik yg mengatakan niat puasa Ramadhan boleh dilakukan dengan satu niat pada awal bulan (niat puasa satu bulan sekaligus) dan qaul Abu Hanifah yg membolehkan niat puasa ramadhan sampai tengah hari.
--------rujukan:
1- athar ilal hadis fi ikhtilaf Fuqaha, Dr Mahir Yasin al-Fahl, www.saaid.net
2- fathul bari, ibn hajar, www.shamela.ws
3- fiqh siyam, Qaradawi
4- kitab2 matan hadis adalah dari software maktabah syamilah V.1 dgn penomboran seperti dibawah:
(penomboran Musnad Ahmad adalah berdasarkan susunan cetakan Muassasah Qrtbah, Kaherah, penomboran Sunan Tirmizi berdasarkan susunan Ahmad Muhd Syakir, Dar Ihya Turath al-Arabi, penomboran Sunan Abu Daud adalah berdasarkan susunan Muhd Muhyidin Abd Humid, Dar al-Fikr. Penomboran Sunan al-Baihaqi al-Kubra adalah berdasarkan susunan Muhd Abdul Qadir, Maktabah Dar al-Baaz, Mekah al-Mukarramah, penomboran Sunan Nasaie adalah berdasarkan susunan Abd Fatah, Maktabah al-Matbuat al-Islamiyyah, Halb, penomboran Sunan ad-Darimi berdasarkan susunan Fawwaz Ahmad dan Kahlid Sbiq, Dar Kitab al-Arabi, Beirut.)
*************************
3.6.12 Rukun Puasa ke2: Niat Puasa
Kemudian al-Sayyid mempericikan kaifiyat Niat Puasa (tatacara berniat): yakni Niat itu tidak disyaratkan dgn talaffudz (ucapan lisan). Ini kerana niat adalah urusan hati, tiada kaitan dgn lisan. Niat ialah bersengaja (voluntarily) melakukan suatu amalan demi menta'ati Allah demi keredhaan-Nya. Juga maksud dapat dicapai dgn bangun sahur dgn maksud utk berpuasa. Jika dia tidak bersahur tapi dia bertekad akan menahan diri dari makan minum kerana Allah pun dikira sudah berniat.
Syarh: al-Qardhawi juga menyokong kenyataan al-Sayyid dalam kitabnya (fiqh Siyyam, 104 (versi terjemahan Indon)) Semua ibadah termasuk solat, zakat dan Haji tidak memerlukan lafadz. Kata Syaikhul Islam Ibn Taymiyah, "jika terlintas dalam HATI seseorang bahawa dia akan berpuasa esok hari, maka dia dikira sudah berpuasa." (al-Ikhtiyarat/191)
Kemudian al-Sayyid menyentuh Niat bagi puasa sunat. Bahawa puasa sunat, Niat masih boleh dilakukan di waktu siang asalkan seseorang belum mengambil apa-apa (makanan/minuman), menggunakan dalil hadith:
[S] Hadith Dalil #169: dari Aisyah ra.
عن عائشة أم المؤمنين رضي الله عنها قالت
قال لي رسول الله صلى الله عليه وسلم ذات يوم يا عائشة هل عندكم شيء قالت فقلت يا رسول الله ما عندنا شيء قال فإني صائم
Terjemahnya: Pada suatu hari RasuluLlah saw balik ke rumahku ketika itu sudah siang, maka baginda bertanya," apakah ada sesuatu hendak di makan?" jawab kami: "tidak ada apa-apa di sisi kami Ya RasuluLlah saw."
Jawab Nabi," Kalau begitu, maka aku berpuasalah." [HR Muslim dan Abu Daud] Takhriij/Tahqiq: sahih Muslim, (1451), Abu Daud (2455), Juga turut di keluarkan oleh Imam Hadith yg lain spt atTermidzi, an-Nasa'iy, Ibn Majah dan Imam Ahmad. Disahihkan oleh al-Albani dalam Sahihul Jaami' (6583)
Perbahasan fiqh mengenai niat puasa sunat:
Jumhur menetapkan boleh berniat puasa sunat di sebelah siang berdasarkan hadith ini. Kata Syaikh Ibn Uthaimiin, boleh berniat puasa sunat di sebelah siang berpandukan hadith Aisyah ra, tapi pahala puasa dikira sebaik sahaja Niat itu dipasang. Jika Niat itu berlaku pada waktu Zuhur, maka dia hanya dapat separuh sahaja pahala puasanya utk hari itu. (syarh alMumti' 6/373) Demikian juga kata al-Qardhawi (Fiqh Siyyam)
TBC
********************
3.6.13 Atas Siapa diwajibkan?
al-Sayyid berkata, Ijmaa' ulama' bahawa puasa wajib atas orang Islam yang berakal, baligh, sihat, bermuqim; tambahan bagi wanita ialah mereka hendaklah suci dari haidh dan nifas. Tahqiq: Ijma' ini dicatat dalam Maratib al-Ijma' oleh Ibn Hazm, 39 dan Ibn Rusyd al-Maliki, Bidayah al-Mujtahid (1/574)
Sambung lagi al-Sayyid bahawa Puasa tidak wajib atas orang kafir, orang gila, anak-anak, orang sakit, si musafir, perempuan haidh dan dalam nifas, begitu juga orang tua bangka, perempuan hamil atau menyusukan anak.
Perincian:
Puasa Orang kafir dan Orang Gila
i) Puasa orang kafir
Puasa atas orang kafir tidak wajib kerana ia ibadah Islamiah. Syarh: al-Qardhawi berkata, orang bukan Islam tidak dituntut menunaikan yg cabang (puasa) jika dia tidak beriman dgn yang pokok (Tawhid). Pertama non-Muslim diajak memeluk Islam dan selepas itu barulah dia dituntut melakukan yang fardhu dan rukun Islam (Fiqh Siyyam, 56)
Perbahasan: Bagaimana dengan non-Muslim yang memeluk Islam dipertengahan Ramadhan, apakah beliau dituntut mengqadha' puasa yang sebelumnya? Empat madzhab Induk Sunni menyatakan tidak wajib qadha' kerana ketika itu kewajipan Puasa itu belum berlaku ke atasnya. (al-Mughni, 3/155)
ii) Puasa Orang Gila
Tidak wajib puasa kerana dia tidak mukallaf (menanggung kewajipan hukum), kerana dilucuti dari akal yang menjadi tempat bergantungnya taklif. al-Sayyid mengemukakan dalil hadith:
TBC
_________________
3.6.13 Atas Siapa diwajibkan? Bah 2
ii) Puasa orang gila
[S] Dalil yg mengecualikan orang gila tidak wajib puasa: Dari Ali ra
رفع القلم عن ثلاثة : عن النائم حتى يستيقظ ، وعن الصبي حتى يشب وعن المعتوه حتى يعقل
"Diangkat pena (hukum) dari tiga golongan: orang tidur sampai ia bangun, dari anak kecil sampai ia mimpi (baligh) dan dari orang tak siuman hingga ia pulih." [HR Ahmad, Abu Daud dan Termidzi] Takhriij/Tahqiq: Ia juga sebenarnya dikeluarkan oleh al-Bukhari, no 225 (dr Aisyah ra) dan no 226 dari Ali ra. al-Albani dalam sahih Abu Daud (4403), Syaikh Ahma Syakir, al-Musnad (2/188)Syarh: Anak kecil diketahui balighnya dgn mimpi bagi anak lelaki dan haidh bagi perempuan. Boleh juga anak lelaki ditetapkan baligh dgn usianya, yakni 15 tahun (al-Qardhawi, Fiqh Siyyam). Bagaimana dengan status orang pingsan dan coma? apakah bila ia sedar semula, dia wajib qadha?
Tahqiq al-Qardhawi, jika pingsan, dia wajib qadha' kerana pingsan tidak termasuk dalam maksud gila. Jika coma yang lama, maka dia tidak wajib kerana coma boleh diqiaskan dgn gila dan tidak wajar ditaklifkan dgn hukum ke atasnya, manakala jika dikenakan qadha' sudah tentu akan membebankannya. (Fiqh Siyyam), Ini juga pendapat hanabilah dan syafi'iyah (al-Majmu' (4:254)
Ini juga fatwa Ibn Baz (alFatawa, 15:10) dan Ibn Uthaimiin.
_________________
3.6.14 Puasa Anak-Anak
Berkata al-Sayyid, walaupun puasa anak-anak (yg belum baligh) tidak wajib, tetapi walinya hendaklah menyuruhnya berpuasa sebagai membiasakannya.
*Dalil hadith yang dikemukakan oleh al-Sayyid tidak lengkap, kita kemukakan versi lengkap:
[S]Dalil hadith # 170 dari Rubayyi' bte Mu'awwidz, katanya:
أرسل النبي صلى الله عليه وسلم غداة عاشوراء إلى قرى الأنصار : من أصبح مفطرا فليتم بقية يومه ، ومن أصبح صائما فليصم . قالت : فكنا نصومه بعد ، ونصوم صبياننا ، ونجعل لهم اللعبة من العهن ، فإذا بكى أحدهم على الطعام أعطيناه ذاك حتى يكون عند الإفطار .
terjemahnya: RasuluLlah saw mengutus beberapa utusan ke perkampungan kaum Ansar pada pagi hari Asyuura (10 muharram) utk menyampaikan perintah Nabi," Barangsiapa yg sedang berpuasa hendaklah disempurnakannya, tapi barangsiapa yg sudah makan, maka hendaklah dia berpuasa pada baki harinya. Maka kami (penduduk Madinah) berpuasa sesudah mendengar perintah tsb dan turut menyuruh anak2 kami yg masih kecil utk berpuasa. (Utk melekakan mereka) kami bawa mereka ke mesjid dan kami buat utk anak-anak tsb mainan yg diperbuat dari bulu kambing. Bila ada kanak-kanak yg menangis kelaparan meminta makanan, kami berikan permainan itu sampailah sampai waktu berbuka." [HR Bukhari-Muslim] Takhriij: sahih Bukhori, no 1960; Muslim, no 1136. Syarh: Tarjih al-Qardhawi (Fiqh Siyyam:188) akan hadith ini ialah mengenai puasa hari asyura yang diwajibkan sebelum turunnya perintah puasa Ramadhan. Bila puasa Ramadhan sudah turun, maka status puasa asyuura menjadi sunat.
Skima latihan kanak2 berpuasa: al-Qardhawi (FS:56) menyarankan latihan berpuasa bermula pada usia 7 tahun. Ini berdasarkan hadith yang mana Nabi menyarankan latihan solat bermula pada usia 7 tahun, dan diqiaskan dgn solat, usia 7 tahun adalah basis usia utk melatihkan kanak-kanak melaksankan suruhan agama yg wajib. Dalilnya"
مروا أولادكم بالصلاة وهم أبناء سبع سنين واضربوهم عليها وهم أبناء عشر
terjemahnya: "perintahlah anak-anak kamu mengerjakan solat ketika mencapai usia 7 tahun, dan pukullah mereka kerananya ketika berusia 10 tahun..." [sahih, al-Albani, al-Irwaa' , 298, sahih al-Jaami' 5868]Maka latihan kanak2 dalam melaksanakan kewajiban agama melalui dua fasa: fasa latihan dan saranan (motivasi), dan fasa ancaman, perintah dan ketegasan dgn pukulan.
Pukulan adalah dharurat dan pukulan yg dianjurkan ialah tanpa menggunakan cemeti atau kayu yang boleh melukakan. Ayah terbaik ialah yang tidak memukul kerana Nabi SAW tidak pernah memukul makhluk hidup baik manusia atau binatang. Ini kerana didikan nabawi ialah banyak menggunakan qudwah (contoh), nasihat dan kata2 yg lunak dan baik. TBC
_________________
3.6.15 Orang yg Diberi Keringanan Berbuka dan membayar Fidyah
al-Sayyid wrote:
Diberi keringanan (rukhsah) yakni tidak berpuasa kepada golongan berikut:
- warga tua renta (lelaki atau perempuan)
- pesakit yang tiada harapan sembuh
- pekerja yang melakukan kerja berat sedangkan ia tidak ada pilihan
Mereka boleh berbuka dan dikehendaki memberi makan seorang miskin utk setiap hari yang ia berbuka
Golongan pertama: warga tua atau emas yang sudah lanjut usia dan tidak larat lagi berpuasa. al-Sayyid menggunakan dalil Ibn Abbas yang berfatwa:
[S] Athar Ibn Abbas ra:
عن ابن عباس رضي الله تعالى عنهما قال : رخص للشيخ الكبير أن يفطر ويطعم عن كل يوم مسكينا ، ولا قضاء عليه
"Diberi keringanan kepada orang tua renta utk berbuka dan utk setiap harinya dia hendaklah memberi makan seorang orang miskin serta tidak perlu mengqadha'." [HR Daruqutni dan al-Hakim yg sama-sama mengesahkannya] Takhriij/tahqiq: Sunan Daruqutni (2:205) al-Hafidz al-Asqolani, Bulugh al-Maram (#607) edisi Maktab Islami, ditahqiq oleh al-Albani; al-Hakim, al-Mustadrak (1:440), mereka berdua mensahihkan sanadnya dan dipersetujui oleh al-hafidz al-Zahabi[S] Hadith dalil #171 dari Atha' yg mendengar dari Ibn Abbas ra: [Atha' ialah muhaddith generasi tabi'in terbilang kota Mekah, muridnya (kpd) Ibn Abbas dan wafat di Mekah pada tahun 115H]
سمع ابن عباس يقرأ : { وعلى الذين يطوقونه فدية طعام مسكين } . قال ابن عباس : ليست بمنسوخة ، هو الشيخ الكبير ، والمرأة الكبيرة ، لا يستطيعان أن يصوما ، فيطعمان مكان كل يوم مسكينا .
terjemahnya: Atha' mendengar Ibn Abbas membaca ayat :
وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ
AQT 2:184: "....Dan wajib bagi orang-orang yang berat menjalankannya (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah, (yaitu): memberi makan seorang miskin."
Kata Ibn Abbas," ayat itu tidak dinasakh (dihapus), adapun orang tua bangka (lanjut usia) baik lelaki atau perempuan yang tidak lagi mampu berpuasa, atas mereka memberi makan seorang miskin setiap hari yang ia tidak dapat berpuasa." [sahih Bukhari, no 4505]
Fiqh al-Hadith: Mengenai isu nasakh, bahawa hukum dalam ayat ini (184) dihapuskan oleh ayat berikutnya 185, tapi berdasarkan pendapat Ibn Abbas, hukum ke atas orang tua lanjut usia masih kekal, yakni mereka boleh berbuka dan membayar fidyah tanpa mengqadha' (tafsir Ibn Kathir (1:215], sahih Bukhari, # 4507)
Ada dua hukum:
1. Imam Syafi'iy (al-Umm, 2:62) dan Imam Malik (al-Mudawwanah, 1:184) dan madzhab Zahiri berpendapat orang tua renta tidak perlu mengqadha' dan mengeluarkan fidyah pun, yakni tak perlu buat apa-apa.
2. Jumhur fuqaha' termasuk Ibn Abbas dan Imam al-Bukhari menetapkan tidak perlu qadha' tapi kena membayar fidyah. WA
**** Akan disambung pada Ramadhan 2009 (IA) *****
*Lajnah Fiqh & Penyelidikan Ilmiah AFN*
0 comments:
Post a Comment