Dec 11, 2008

Siri 22: Fiqh Thaharah - Definasi Asas

Siri 22: Fiqh Thaharah - Definasi Asas

الطهارة

alSayyid Sabiq memulakan Fiqh Sunnahnya dengan kitab atThaharah seperti kesemua kitab-kitab fiqh yang lain, pasti akan memulakan (kitab fiqh) mereka dengan Fasal atau Kitab atThaharah. Berlainan dengan para Imam yang lain, Pengarang tidak menjelaskan maksud Thaharah. Cuma pada notakaki edisi Daar alFath, alQaherah, ada disebut takrifan al-Thaharah yakni thaharah menurut hakikat ialah bersuci dengan air, manakala menurut hukum ialah seperti bersuci dengan tanah ketika bertayammum.


Syarah:

Apakah rasional bahawa ulama'-ulama' fiqih sejak dulukala menyusun perbahasan kitab fiqh, selalunya akan mendahului kitab Thaharah sebelum membahaskan fiqh yang lain? Dalam hal ini Prof Dr Yusof al-Qaradawi (YDP Majlis Ulama' Sedunia) menjelaskan rasionalnya: bahawa lazimnya ibadahlah yang dibahaskan dahulu daripada bab mu'amalat kerana kewajiban utama manusia kepada Khaliq ialah ibadah, barulah selepas itu fiqh mu'amalat. Hak ALlah yang prima ialah ibadah, solat merupakan ibadah yang paling agung, sedangkan atThaharh itu adalah syarat pertama akan keabsahan solat. Maka itulah rahsianya kenapa kitab-kitab fiqh memulakan perbahasan dengan kitab thaharah. [Fiqh atThaharah, maktabah Wahbah, cet. 2002, ms 11]

Sekarang mari kita lihat takrifan dan konsep Thaharah secara sistematis (lughawi atau bahasa dan istilah).

Dari segi bahasa arab (etimologi), thaharah bererti nadzafah atau kebersihan (alQardhawi, ibid), dengan kata lain bersih dari kotoran yang bersifat hissiyah (nyata) atau najis maknawi (abstrak) (S. Abdullah alBassam, syarh Bulugh alMaram : 1/113). [Najis hissi/nyata ialah seperti kencing dan tahi, manakala najis maknawi seperti dosa dan aib]

Dari segi terminologi atau syar'iy, thaharah ialah kebersihan dari sesuatu yang khusus yang didalamnya terkandung makna ta'abud (perhambaan) Qardhawi, ibid, ms 12), manakala syaikh Bassam berkata, bila terangkatnya hadath dengan air atau debu suci lalu hilangnya najis. Kata Imam Ibn Qudamah, " thaharah dari segi syara' ialah menghilangkan hal-hal yang dapat menghalangi solat berupa hadath atau najis dengan menggunakan air (atau selainnya) atau mengangkat hukum najis tersebut dengan tanah." (alMughni (1/12)

Rumusan:

Thaharah menurut kesepakatan ulama' ialah hilangnya kekotoran di badan. Thaharah ada dua jenis: bersih dari najis hissi atau khabats yaitu najis yang nyata. Cara menghilangnya dinamakan izalah (menghapuskannya). Adapun najis maknawi atau hukmiyah atau juga dinamakan hadath ialah irtifaa (terangkat) [syaikh Bassam, ibid]

al-Sayyid berkata pada nota kakinya: thaharah menurut hakikat ialah bersuci dengan air, manakala menurut hukum ialah seperti bersuci dengan tanah ketika bertayammum.

Syarah: Thaharah hakikat ialah thaharah dari alKhubts atau khabits (kotoran) atau najis yang nyata yang terdapat pada tubuh, pakaian dan tempat (ia memiliki warna, rasa, dan bau); taharah hukmiyah yang disebut oleh al-Sayyid ialah thaharah dari hadath. Thaharah hukmi ini ada tiga jenis: kubra (hadaths besar) diangkat dengan mandi, sughra (hadath kecil) dengan wudhu' dan pengganti keduanya bila terhalang ialah tayammum.(Qardhawi, ibid)

Rangkuman: Thaharah memiliki empat tingkatan:

1. membersihkan zahir dari hadath dan najis

2. membersihkan jawarih (anggota tubuh) dari dosa dan kesalahan

3. membersihkan hati dari akhlak madzmuumah (tercela)

4. membersihkan yang tersembunyi dari sesuatu selain Allah. (Syaikh Bassam, syarh Bulugh alMaram, ibid)

Dalil-dalil al-Qur:an dan Sunnah tentang kepentingan Thaharah:

وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ

terjemahnya : " dan pakaianmu bersihkanlah" (AQT 74:04)

فِيهِ رِجَالٌ يُحِبُّونَ أَنْ يَتَطَهَّرُوا وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُطَّهِّرِينَ
terjemahnya: "di dalamnya terdapat orang-orang yang ingin membersihkan diri dan Allah menyintai orang-orang yang bersih." AQT 9:108

الطهور ‏ ‏شطر ‏ ‏الإيمان (atThuhur syatrul iiman)

terjemahnya: " kebersihan dari bahagian iman" [Muslim,# 328 dari Abu Malik

‏ ‏لا تقبل صلاة بغير طهور (la tuqbalu solaatun bighayri Thuhur)

terjemahnya: "Tidak diterima solat tanpa bersuci" [Muslim, #224 dari Ibn Umar]

‏مفتاح الصلاة الطهور (miftahu assolaati atThuhuur)

terjemahnya: "kunci solat ialah bersuci "[Abu Daud, #523, Ahmad, atTermidzi dan Ibn Majah ari Ali

0 comments:

Post a Comment