Jan 17, 2009

Baca Basmallah Atau A'uzubillah

Salam
Sekiranya kita membaca ayat quran bukan dari permulaan ayat adakah dikehendaki memulakan dengan basmallah juga atau hanya dengan auzubillah?
Boleh sertakan dalil n nash berkenaan hal ini?Yang manakah menepati sunnah rasul saw?

***************
Isti’azah

Para ulama bersepakat bahawa membaca isti’azah (a’uzubillah) adalah sunnah Nabi S.A.W. Ini berdasarkan beberapa hadith, antaranya:
i. Daripada Abu Sa’id al-Khudri r.a:

أن رسول الله صلى الله عليه وسلم كان يقول قبل القراءة أعوذ بالله من الشيطان الرجيم.

Terjemahan: “Bahawasanya Rasulullah S.A.W selalu menyebut (a’uzubillahi minasy syaitanir rajim) sebelum membaca (al-Quran)”.
(Hadith riwayat Abdur Razzaq dalam al-Musannaf dan disahihkan oleh al-Albani dalam al-Irwa’).

ii. Daripada Abu Sa’id al-Khudri r.a, katanya:

كان رسول الله صلى الله عليه وسلم إذا قام من الليل كبر ثم يقول : سبحانك اللهم وبحمدك وتبارك اسمك وتعالى جدك ولا إله غيرك ثم يقول لا إله إلا الله ثلاثا ثم يقول الله أكبر كبيرا ثلاثا أعوذ بالله السميع العليم من الشيطان الرجيم من همزه ونفخه ونفثه ثم يقرأ.

Terjemahan: Rasulullah S.A.W selalunya apabila melakukan qiyamullail, bertakbir kemudian membaca: (SubhanakalLahumma wa bihambika wa tabarakasmuka wa ta’ala jadduka wa la ilaha ghairuka) kemudian baginda membaca: (La ilaha illalLah 3 kali), kemudian membaca (Allahu akbaru kabira 3 kali), (A’uzubillahis Sami’il ‘Alimi minasy Syaitanir ajimi min hamzihi wa nafkhihi wa nafsthihi), selepas itu baginda membaca (al-Quran).
(Hadith riwayat Abu Daud dan At-Tirmizi. Kata al-Albani: sahih)

Bagaimanapun para ulama berbeza tentang hukumnya. Jumhur ulama menyatakan hukumnya mustahab (sunat) sedangkan sebahagian yang lain contohnya Ibn Kathir menghukumkannya sebagai wajib. Ia berdasarkan perintah Allah S.W.T :

﴿ فَإِذَا قَرَأْتَ الْقُرْآنَ فَاسْتَعِذْ بِاللّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ ﴾ (النحل 9Cool.

Terjemahan: “…maka apabila kamu membaca al-Quran, hendaklah kamu memohon perlindungan dengan Allah dari syaitan yang direjam”. (an-Nahl:9Cool

Basmalah

Apabila seorang itu memulakan bacaannya di pertengahan surah, maka dia boleh memilih untuk membaca basmalah atau meninggalkannya. Sebilangan ulama menyatakan membacanya lebih baik. Namun Al-Ja’bari menyatakan adalah dilarang membaca basmalah apabila memulakan bacaan samada di permulaan surah at-Taubah mahupun di pertengahannya.

Wallahu a'lam
_________________
ustaz Rasyid bin Idris

0 comments:

Post a Comment