Dec 11, 2008

Fiqh Puasa #1: Fadhilat Puasa

FS3-Fiqh Puasa #1: Fadhilat Puasa

Oleh kerana Puasa datang lagi, maka siri Syarh Fiqh Sunnah akan hentikan siri Syarh Fiqh Sunnah 1 bab Taharah untuk memberi laluan kpd Fiqh Sunnah Jilid 3 sebagai pelajaran ulangkaji sebelum kita semua masuk dalam kem latihan (summer camp) Ramadhan.

FS3 #1: F_Siyyam (silsilah Fiqh Sunnah Vol 3)

al-Sayyid mentakrifkan puasa sebagai menahan (imsak). Dalilnya ialah dari surah Maryam. Dalil #145 (Aku bernadzar kepada Tuhan Yang Maha Pengasih akan berpuasa) AQT 19:26. Kata al-Sayyid, syauman dalam ayat itu adalah menahan diri dari berbicara.

Syarh: Ayat dalil itu tergantung, sepatutnya disudahi dengan “maka aku tidak akan berbicara dengan seorang manusiapun pada hari ini.” Kata Ibn Kathir dari Anas bin Malik ra, puasa dalam syari’at masa itu (syari’at Yahudi), selain menahan diri dari makan dan minum, orang Yahudi bila berpuasa juga ditegah berbicara. Takrifan al-Sayyid itu dinamakan takrifan dari segi lughawi atau etimologi bahawa siyyam atau puasa itu adalah imsak atau menahan diri. [Ibn Kathir, Tafsir alQur:an al’Adziem, surah Maryam; Ibn Qudamah, alMughni, 3/84]

Al-Sayyid mentakrifkan puasa menurut istilah sebagai “menahan (imsak) dari apa jua yang membatalkan puasa dari mula terbit fajar hingga terbenam matahari dengan niat”. Syarh: Takrifan ini dikritik oleh Syaikh Ibn Uthaimiin (w. 1999), ulama’ besar Kerajaan Arab Saudi (KSA) kerana meninggalkan kalimah ta’abud. Takrifan yang tepat menurut beliau ialah, “puasa ialah berta’abbud kepada Allah Ta’ala dengan menahan diri (imsak)….” Ini kerana puasa ni bukan saja-saja menahan diri, tapi dalam rangka ibadah (Ibn Uthaimiin, kitab asshiyam/1), manakala Dr al-Qaradhawi pulak mentakrifkan puasa sebagai, “ menahan diri (imsak dari segala yang membatalkan puasa”….dengan lafaz tambahan,” dengan niat memenuhi perintah Allah (ta’abud) dan bertaqarrub kepada-Nya.” (Fiqh Siyyam/18)

Puasa sebagai ibadah maksudnya puasa itu merupakan sebahagian dari beberapa ibadah yang disyari’atkan kerana memenuhi hak Allah yang pertama iaitu hak ubudiyah. Puasa merupakan suatu ibadah yang unik kerana ia diklaskan sebagai ibadah jasadiah kerana ia memerlukan aktiviti fizikal dan juga spiritual (nafsiah). Maksud puasa sebagai jalan bertaqarrub kepada Allah ialah kerana puasa termasuk ibadah nafsi atau ibadah kejiwaan atau ibadah yang bersifat kawalan dalaman yang positif dan bersifat rahsia antara puasawan dan Allah semata-mata (Dr Qardhawi, ibid/17)

Keutamaan Puasa.

Al-Sayyid membawa beberapa hadith mengenai fadhilat Puasa:

Hadith # 146, dari Abu Hurairah ra, bahawa Nabi saw bersabda: “Telah berfirman Allah AWJ: “ semua amalan manusia adalah untuk dirinya, kecuali puasa, maka itu adalah untuk-Ku dan Aku akan memberi ganjarannya. “ (Hadith Qudsi). Dan puasa itu merupakan benteng, maka ketika datang saat berpuasa, janganlahseseorang berkata keji atau berteriak-teriak atau mencaci-maki. Dan seandainya dicaci oleh seseorang, atau diajaknya berkelahi, hendaklah dijawab: “ saya ini berpuasa” sampai dua kali. Demi Tuhan yang nyawa Muhammad dalam genggaman-Nya, bau mulut orang yang berpuasa itu lebih harum di sisi Allah pada hari Kiamat dari bau kesturi. Orang yang berpuasa itu akan beroleh dua kegembiraan yang menyenangkan hati: di kala berbuka, ia akan bergembira dengan berbuka itu dan di saat ia menemui Tuhan-nya nanti, ia akan gembira kerana puasanya.” [HR Ahmad, Muslim dan Nasa’iy]. Takhriij: Muslim (Kitab asSiyam, # 1944 -ksa), An-Nasa’iy, kitab asSiyyam (4/163/# 2185 -ksa), dan Ahmad (Musnad/2/273)

Hadith # 147 adalah hadith yang sama cuma susunannya berlainan. Ia dikeluarkan oleh alBukhari dan Abu Daud.

“Puasa adalah perisai, maka janganlah berbuat rafath (berkata keji) dan jangan bertindak bodoh. Jika ada orang yang mengajaknya berkelahi, atau mencaci makinya, maka katakanlah ,” saya sedang puasa” (2X). Demi Dzat yang jiwaku ada di tangan-Nya, bau mulut (khuluf) orang-orang yang berpuasa bagi Allah adalah lebih baik dari aroma minyak misk (kesturi). Allah berfirman: ‘ Hambaku meninggalkan makan, minum dan syahwatnya kerana-Ku. Puasa itu untuk-Ku, dan Aku sendiri yang akan membalasnya. Adapun kebaikan akan dibalas dengan 10 kali kebaikan yang semisalnya” Takhriij: Sahih Bukhari, kitab asSiyyam, # 1760-ksa; Abu Daud (Sunan, kitab asShaum, # 2016 – ksa), ia juga dikeluarkan oleh Ibn Majah, anNasa'iy, Malik, Ahmad dan alBaihaqi

Syarh: Hadith Qudsi adalah hadith yang maknanya dari Allah SWT, sedangkan lafadznya di susun oleh Nabi SAW. Nabi menerima hadith ini melalui jalan wahyu samada mimpi, ilham atau melalui Jibrael AS. Jumlah hadith Qudsi tidak banyak, seputar 1000 hadith dan tertakluk kepada mustalah hadith yang standard: sahih, hasan dan dha’if.

Kita akan syarah hadith versi alBukhari:

Maksud ‘Puasa adalah perisai’. Dalam versi Termidzi, disambung dgn 'puasa adalah perisai dari api Neraka.’ Dan dalam versi Imam Ahmad pula.’puasa adalah perisai dan benteng dari api neraka.” Kata alQadhi Iyadh, maksud perisai adalah penghalang dari dosa atau neraka atau kedua-duanya. (al-Ikmal). Kata Imam Abdil Barr, cukuplah puasa sebagai benteng dari api neraka berbanding dgn ibadah-ibadah yang lain.

Apa status puasa bagi seseorang yg berkata keji (rafath) spt mengumpat di bulan Ramadhan? Kata Imam alAwza’iy, kata2 keji spt mengumpat membatalkan puasa. Kata Ibn Hazam, sesiapa yang melakukan perkara keji baik kata2 atau perbuatan (maksiat) membatalkan puasa. Namun kata Jumhur, puasa masih sah.

Maksud ‘wala yajhal’ (janganlah dia bertindak bodoh) maksudnya berkelakuan seperti orang dungu, misalnya menjerit dan berteriak. Kata Imam alQurthubi, larangan berkata keji dan bertindak bodoh bukanlah bermaksud selain bulan Ramadhan ia dibolehkan, tapi dalam bulan Ramadhan ia amat diberatkan.

'Jika ada yang mengajaknya berkelahi atak mencacimakinya’ . Versi Abu Saleh, lafaznya ‘ jika ada orang yang mengejeknya atau mengajaknya bertumbuk’; versi Abu Qurra, ‘jika ada yang mencaci-makinya , janganlah dilayan (hendaklah dia diam).. versi Ibn Khuzaimah, ‘ jika ada orang bodoh yang bertindak bodoh terhadap kalian’. Maksud sebenar ‘qatalahu’ ialah mengajak berkelahi kerana lafaz qatalahu bererti melaknat. Ini kerana laknat adalah sejenis cacian. Apakah orang yang berpuasa harus mengatakan dengan lisan atau lafaz yang keras,’bahawa aku sedang berpuasa, atau memadai dalam hati sahaja? Kata Imam alRuyani, jika di bulan Ramadhan hendaklah dilafadzkan dengan keras (jahar) dan jika di bulan lain, hendaklah dalam hati sahaja.

Maksud,’ bau mulut orang yang berpuasa bagi Allah lebih baik dari aroma misk.” Kata Ibn Hajar dalam alFath, ‘khuluf atau bau mulut puasawan lebih mendekatkan kepada Allah daripada mendekatkan bau kesturi kepada kamu.' Manakala kata Ibn Rajab alhanbali, khuluf atau bau mulut puasawan itu bermaksud orang yang berpuasa itu hanya dikenali di akhirat dengan keharuman mulutnya.

Maksud : ‘Allah berfirman: ‘ Hambaku meninggalkan makan, minum dan syahwatnya kerana-Ku’ . Kalimah syahwat itu ialah hubungan seks.

Maksud ‘puasa itu untuk-Ku dan Aku sendiri yang akan membalasnya’ .Maksud Puasa itu untuk-Ku, kata Imam alQurthubi puasa adalah satu-satunya ibadah yang amat sukar dinodai oleh riya’, lagipun puasa adalah ibadah rahsia dan hanya Allah jua yang mengetahui status puasa seseorang. Adapun maksud, Aku sendiri yang membalasnya bermaksudnya kata lagi alQurthubi, bahawa setiap amal telah ditentukan kadar balasannya dari 10X hingga 700X kali ganda , tapi tidak puasa, di mana kadar balasannya tidak sebut oleh Allah. (saduran dari Ibn Rajab alHanbali, Latha’if alMa’arif)

tbc

0 comments:

Post a Comment