Dec 11, 2008

Siri 30: Fiqh Thaharah 9 - Najasah

FS1-Siri 30: Fiqh Thaharah 9 - Najasah

Makluman: siri Fiqh Sunnah disambung kembali. Topik Fiqh Siyyam (FS3) nampaknya akan tertangguh hinggalah musim Ramadhan akan datang. Maka Fiqh Thaharah akan disambung kembali tapi lagi sekali akan tertangguh bila saya akan berlepas ke Tanah Suci menunaikan Haji pada pertengahan Disember, InsyaAllah

AN-NAJAASAH (PERIHAL NAJIS)

Definasi Najis menurut al-Sayyid ialah “ kotoran yang bagi setiap muslim wajib mensucikan dari padanya dan mensucikan apa yang dikenainya.”


Syarh: Definasi ini terlalu umum dan tidak sistematis. Definasi yang sistematis dalam kitab-kitab fiqh ialah Najis menurut bahasa ialah kotoran, maksudnya sesuatu yang dianggap kotor oleh orang-orang yang memiliki tabi’at yang benar, luhur dan madani. Manakala najis menurut istilah ialah lawan kepada thaharah, yakni kotoran tertentu yang dapat mencegah solat dan ibadah lainnya. Najis terbahagi dua: najis hakiki (najis sebenar) yang terkena pada tubuh, pakaian, tempat, bekas dan tempat. Najis hukmi yang khusus kepada badan manusia sahaja kerana hadath, ada tiga : kubra (junub), sughra (wudhu’) dan dharurat (tayammum) [ Abu Malik Kamal, sahih Fiqh Sunnah/101; Abdullah alBassam, syarh Bulughul Maram/180; al-Qardhawi, Fiqh Thaharah 13-14]

Dalil # 53, QS alMuddatsir 74: 04

وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ Terjemahnya: “Dan pakaianmu, bersihkanlah”

Tafsir: Menurut Ibn Kathir dari Ibn jarir atTabari dari Qatadah, maksud ayat ini dalam budaya arab ialah tiga: kebersihan hati, kebersihan dari dosa dan kebersihan pakaian. Itulah maksud bersih pakaian dalam bahasa dan budaya bangsa arab bila berpakaian itu untuk Allah, maka maksudnya mendekati Allah (dalam keadaan) bersih pakaian lahir dan batin.

Dalil hadith #55: الطهور شطر الإيمان (Bersuci itu sebahagian (cabang) iman). Takhriij: sahih, Sahih Muslim, #328, al-Albani, Musykilah alFaqr, #59 dari Abu Malik al-Asyári ra. Syarah: Menurut Imam Nawawi, hadith ini boleh juga dibaca dengan, “Kebersihan sebahagian dari solat”atau kebersihan permulaan solat (syarh Muslim). Manakala al-Qardhawi membuat ulasan, bahawa kebersihan merupakan salah satu keunikan Islam berbanding agama-agama lain kerana sejak awal lagi Islam menitikberatkan perkara kebersihan dan keindahan. Lihat saja QS alMuddatsir, antara surah yang paling awal turun dan dikatakan turun selepas surah al-`Alaq. Di peringkat begitu awal lagi isu kebersihan sudah dititikberatkan. Bagitulah, ia kemudian menjadi suatu trend yang kuat, di mana setiap kitab Fiqih Islam, niscaya akan dibuka dengan Kitab Thaharah, sejak dulu lagi susunan kitab Fiqh memang begitu. Ilmu Fiqih mendetailkan bab Thaharah kepada personal hygiene (kebersihan kendiri berupa sunan alfithrah dan siwak) dan juga public hygiene (kebersihan awam), seperti menjaga kualiti air, tandas dan alam sekitar. Maka itulah maksud kebersihan adalah cabang Iman (al-Qardhawi, atThahaarah fiil Islam, el-Falah, Cairo, 1997, ms 18-25) Fiqh Realiti: Namun dalam kitab-kitab Fiqh begitu cantik, atThaharah mendahului bab-bab yang lain, namun di alam realiti, apa sudah jadi dengan kebersihan umat Islam, baik personal hygiene (kebersihan diri), belum lagi kita lihat kebersihan awam yang amat kotor (terutamanya tandas awam). Dalam hal kebersihan, negara-negara bukan Islam, negara Barat dan Jepun terkenal dengan budaya kebersihan yang tinggi, malah Jepun boleh mengekspot program kebersihannya yang terkenal yg dinamakan program 5S. Syaikh Abu Malik merumuskan peri pentingnya umat Islam mempelajari bab Thaharah ialah kerana:

1. Syarat sahnya solat seseorang ialah taharah (wudhu’).

2. Allah menyintai orang-orang yang bersih (QS 2: 222)

3. Kelalaian dan kecuaian atau meringankan urusan thaharah membuka pintu kepada azab kubur (Abu Malik Kamal, Sahih Fiqh Sunnah, 1/100)

MACAM-MACAM NAJIS:

Syarah: al-Qardhawi (F_Thaharah/14-17) memberi beberapa panduan atau kaedah yang kukuh sebelum kita masuk membicarakan topik Najis, kerana tanpa panduan ini, maka lahirlah keraguan, was-was dan perbahasan yang tidak ada penghujungnya.

Kaedah Usyul taharah: hukum asal segala sesuatu adalah SUCI dan baik sehingga ada nas yang mengatakan kenajisannya. Dalil Qur:ani: QS asSajdah 32:07 (Yang membuat segala sesuatu yang Dia ciptakan sebaik-baiknya). Juga dalil hadith Salman (yang halal ialah apa yang Allah halalkan dalam Kitab-Nya, dan yang haram ialah apa yang Allah haramkan dalam Kitab-Nya. Adapun apa-apa yang tidak disebutkan merupakan suatu kelapangan.) HR Termidzi, disahihkan oleh al-Albani dalam sahih Sunan atTermidzi, # 1726

1. Bangkai

al-Sayyid mendefinasikan bangkai sebagai yang mati secara begitu saja tanpa disembelih menurut ketentuan agama. Tahqiq: definasi yang padat ialah semua binatang yang mati tanpa disembelih. Dalil Qur:ani ialah QS al-An’am 6:145 (kecuali kalau makanan itu bangkai)

Termasuk bangkai ialah apa yang dipotong dari haiwan yang hidup.

Dalil hadith # 56: hadith Abu Waqid alLaitsi:

“Telah bersabda RasuluLlah SAW: “apa yang dipotong dari haiwan ternakan, sedang ia masih hidup, adalah bangkai” [HR Abu Daud dan Termidzi]. Tahqiq: sahih, al-Albani, sahih sunan atTermidzi, 1480, sahih sunan Abu Daud, 2858. Syarah: Dikecualikan ialah kulit kijang liar yang mengandungi asas pembuatan perfume, maka perfume ini suci walaupun ia diambil dari kijang bila kijang menggugurkan kulitnya yang mengandungi perfume. Juga binatang buas yang amat sulit memburunya, maka boleh mengambil apa yang sempat diburu atau dapat dipancung dari badan haiwan itu (syaikh alBassam, syarah Bulugh alMaram (1/162)

Pengecualian dari hukum bangkai:

a. Bangkai ikan dan belalang

Dalil hadith #57: hadith Ibn Umar ra:

“Dihalalkan bagi kita dua jenis bangkai dan darah. Adapun dua jenis bangkai:bangkai ikan dan belalang, sedang dua jenis darah ialah hati dan limpa.”[HR Ahmad, Syafi’iy, Ibn Majah, alBaihaqi dan Daruqutni, statusnya dhaíf, tapi Imam Ahmad mengesahkan sebagai mauquf kepada Ibn Umar.] Tahqiq: alHafidz Ibn Hajar berkata hadith dhaíf kerana terdapat Abdul Rahman bin Zaid bin Aslam. Muhaqqiqin spt adDaruqutni dan Ibn Qayyim menilainya sebagai sahih mauquf. alSyawkani menjelaskan maksud sahih mauquf sebagai hadith yang ada kalimah “dihalalkan bagi kami” maka ia menjadi marfu’ (terangkat kepada Nabi SAW). Ini dipersetujui oleh alHafidz Ibn Hajar dalam alTakhis. Imam al-Albani mensahihkan dalam Sahih Ibn Majah (3218), maka status muktamad: sahih. Syarah alhadith: Hati dan limpa adalah halal, suci dan merupakan delikasi yang lazat. Belalang (jaraad) dan ikan (huut) adalah dua jenis bangkai yang halal. Maksud bangkai ikan dan belalang ialah ia haiwan mudah mati khasnya ikan lautan dan kematiannya yang natural (tabi’iy) itu tidak menajiskannya kecuali ikan atau belalang yang ditemui mati dan disyaki terkena racun atau pencemaran, maka ketika itu ia kenalah dijauhi. ( alBassam, syarh Bulugh al-Maram, 1/156)

0 comments:

Post a Comment