Dec 11, 2008

Siri 29: Fiqh Thaharah 8 - Su'ur

FS-Siri 29: Fiqh Thaharah 8 - Su'ur

FS #29: F_Taharah 8

Sisa Minuman (as-Su’ur, السؤر)

As-Su’ur ialah baki minuman yang terdapat dalam bejana (bekas air) setelah diminum oleh manusia atau haiwan. Al-Sayyid merincikan jenis-jenisnya:

1. Sisa minuman Bani Adam (manusia)

Berkata al-Sayyid, sisa minum anak Adam baik muslim atau kafir, dalam keadaan junub atau haidh adalah suci. Beliau menggunakan dalil-dalil berikut:


a. al-Qur:an

إِنَّمَا الْمُشْرِكُونَ نَجَسٌ terjemahnya: “sesungguhnya orang-orang musyrik itu najis” [AQT 9 (atTawbah) 28. Kata al-Sayyid, kenajisan orang musyrik ialah akidah mereka atau najis maknawi atau hukmi bukan najis hissi (inderawi).

Syarh: pendapat al-Sayyid disokong oleh ahli tahqiq, antaranya al-Syaukani, alQardhawi (Fiqh Thaharah) dan Abdullah alBassam (Tawdhih al-Ahkam). Dalam realiti sebenar, tahap kebersihan fizikal orang bukan Islam terutama orang Barat, persekitaran mereka amatlah bersih (baik jalanraya, bangunan dan tandas-tandas awam). Sedangkan tahap kebersihan prasarana umat Islam termasuk tandas2 mesjid amatlah menyedihkan. Kalau kita ada peluang melancung ke negara-negara Jepun, Australia, Eropah dan Amerika, kita dapati tahap kebersihan mereka amatlah jauh bedzanya jika dibandingkan dengan keadaan di negara-negara umat Islam.

b. Dalil hadith

`Kata al-Sayyid, Nabi saw sentiasa bergaul dengan orang musyrik, sering dikunjungi utusan dan duta-duta musyrikin, mereka dibawa menemui Nabi dalam mesjid, walhal Nabi saw tidak memerintahkan mesjid itu dibasuh akan kesan dan bekas kaum musyrikin. Syarh: Ini disahkan oleh al-Syawkani dalam Nayl al-Awthor, 2/31, Imam Syun’ani, Subulus Salam, 1/30

Manakala sisa minuman orang junub adalah hadith Aisyah ra:

كنت ‏ ‏ أشرب وأنا حائض ثم أناوله النبي ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏فيضع فاه على موضع ‏ ‏في

“ Saya minum dan ketika itu saya sedang haidh, lalu (bakinya) saya berikan kepada Nabi SAW. Maka baginda meletakkan bibirnya pada bekas tempat mulut saya.” (Muslim)

Takhrij/tahqiq alhadith: sahih, dikeluarkan oleh Muslim (kitab atThaharah (alhaidh), 3/210, # 453), anNasa’iy (1/149), Musnad Ahmad, 6/210; Syarh Sunnah alBaghawi (2/134)

Rumusan: sisa minuman anak Adam termasuk orang kafir adalah suci, begitu juga sisa minuman orang junub adalah suci.

2. Sisa haiwan yang dimakan dagingnya

Kata al-Sayyid, lebihan air minuman haiwan yang dimakan dagingnya adalah suci. Beliau menukilkan kata Ibn Mundzier, bahawa ia adalah ijma’.

Tahqiq: Beliau ialah Imam Abu Bakar Muhammad bin Ibrahim bin alMundzier (w. 318H), Beirut : Dar alKitab al-Ilmiyyah, al-Ijmaa’, kitab alWudhu’, Ijmaa’# 13, ms 5

3. Sisa baghal, himar (keldai) dan binatang buas (termasuk burung pemburu)

Syarah: baghal ialah haiwan kacukan kuda dengan keldai. Manakala himar atau keldai ialah sejenis haiwan bersaiz kecil yang amat penting dalam masyarakat Arab dulu sebagai haiwan pengangkutan. Tabi’at pemakanannya ialah termasuk haiwan jalalah atau pengotor. Sebab itu ia dikelaskan sekali dengan binatang buas.

Berkata al-Sayyid, sisa air minum haiwan-haiwan tersebut adalah suci berdasarkan hadith Jabir ra. (Hadith FS # 48)

Terjemahnya: Ditanya Nabi saw ,” bolehkah kita berwudhu’ dengan (air) sisa keldai? Sabda baginda,” Boleh, bahkan dengan sisa semua binatang buas.” (HR asySyafi’iy, Daruqutni dan alBaihaqi. Kata alBaihaqi, hadith ini mempunyai sanad, jika dihimpunkan dengan sanad yang lain, ia menjadi kuat. Takhrij dan tahqiq al-Albani (Tamam alMinnah/47 edisi Riyadh): Hadith Jabir ini dha’if, sama dengan pendapat Imam Nawawi dalam alMajmuu’, 1/173). Komentar al-Nawawi:” meskipun hadith ini dha’if, tapi ramai al-ashab (istilah ulama-ulama dari kalangan syafi’iyah) yang menjadikan hadith ini hujah kesucian air sisa keldai dan binatang buas. Tapi menjadi tugas saya (sebagai ahli hadith) menyampaikan dan memperingati (akan kedha’ifan) hadith ini. Kata al-Albani, begitulah jujurnya Imam Nawawi.

Apa komen al-Albani terhadap kenyataan al-Baihaqi (Sunan alkubra, jld 1/249), bahawa jika digabungkan semua sanad menjadi satu, maka hadith ini menjadi kuat (hasan lighairihi). Kata al-Albani, kenyataan al-Baihaqi itu tidak dapat diterima kerana dalam sanadnya hanya (perawi) Daud bin alHusain sahaja yang kuat, manakala yang lain kesemuanya lemah. Ini kerana Daud tidak pernah bertemu dengan Jabir ra. Maka hadith ini adalah munqathi’ (terputus sanadnya) dan termasuk hadith lemah (dha’if). Hadith ini mungkar kerana bertentangan dengan hadith dua qullah. Dengan itu air sisa haiwan pengotor seperti keldai dan binatang buas adalah najis sebab itu adanya persyaratan dua kolah. Ini juga pendapat al-Nawawi (alMajmu, ibid)

Takhrij lengkap hadith Jabir: HR alSyafi’iy (Musnad alSyafi’iy/5), Daruqutni (Sunan, kitab Thaharah (1/26/# 200), kata Daruqutni, hadith ini dha’if kerana perawinya Ibn Abi Hubaibah; al-Baihaqi (Sunan al-Kubra, 1/249 dari Daud alHussain, dha’if. Komentar alHafidz Ibn Hajar dalam talkhish alHabiir. Hadith ini jika berasal dari Abi Sa’id alKhudri, Abi Hurayrah & Ibn Umar, maka ia didha’ifkan oleh Daruqutni, juga dalam Ibn Majah dari Abi Sa’id, dalam Muwatta’ Malik dari Ibn Umar, juga keduanya dha’if. Hadith Jabir didha’ifkan oleh al-Albani dalam Tamam alMinna/47)

Hadith #49, ms 42, Fiqh Sunnah: Dari Ibn Umar ra: Dalam satu perjalanan Nabi saw berangkat di waktu malam. Rombongan itu lewat pada seorang lelaki yang sedang duduk di tepi sebuah kolam miliknya. Umar (alKhattab ra) pun bertanyakan kepadanya,” apakah ada binatang buas yang minum di kolammu pada malam hari?” Nabi saw bersabda,” hai pemilik kolam, jangan katakan padanya. Itu keterlaluan! Yang masuk keperut haiwan adalah miliknya, sedang yang berbaki, jadi minuman kita dan ia suci.” (HR Daruqutni) [Takhrij: adDaruqutni, asSunan, kitab Taharah, 1/26/# 30), hadith dha’if menurut Ibn Hajar (atTalkhisy), alSyawkani (Sail alJarar, 1/60) dan al-Albani (tamam alMinnah/47)

Huraian al-Albani mengenai hadith Ibn Umar: perawi dha’if dalam sanad hadith ini ialah Ayyub bin Khalid alHarrani , hadith ini juga mudhtharib (goncang) kerana ia ada dua jalur periwayatan untuk sampai kepada Ibn Umar. Dalam dua jalur itu terdapat perawi Muhammad bin Ulwan yang matruk (tertinggal) dan Khattab bin alQasim yang dha’if menurut alHafidz dalam atTaqrib.

Atsar Yahya bin Sa’id “ Bahawa Umar (alKhattab ra) pergi bersama rombongan yang di dalamnya terdapat Amru bin al-‘Ash, hingga sampailah mereka kepada sebuah kolam. Amru bertanya:” hai empunya kolam, apakah kolam ini didatangi binatang buas untuk minum?” “Mencelah Umar,

فقال عمر: لا تخبرنا, فإنا نرد على السباع, وترد علينا (رواه مالك)

” tak usah dijawab, kerana kita boleh minum di tempat minumnya binatang buas, dan mereka dapat minum di tempat kita.” (HR Malik dalam alMuwatta’)

Takhrij: alMuwatta Malik (1/46), al-Baihaqi (Sunan alKubra (1/250), Daruqutni (Sunan, 1/22). Komentar al-Albani (tamam alMinnah/47), rantaian sanad yang betul ialah dari Yahya bin Sa’id dari Muhammad bin Ibrahim alHarith atTaimi dari Yahya bin Abdul Rahman bin Hathib dari Umar. Kedhaifan hadith ini ialah Yahya bin Abd Rahman tidak pernah bertemu Umar alKhattab kerana beliau lahir semasa kekhalifahan Uthman alAffan ra.

Rumusan: kesemua hadith dalam bab ini, yakni sisa binatang jalalah (pengotor) dan haiwan buas adalah dha’if dan tidak boleh dijadikan dalil.

4. Sisa kucing (Hirrah)

al-Sayyid berkata, ia adalah suci dan mengemukakan dalil pada hadith #50 dari Abu Qatadah, di mana RasuluLlah SAW bersabda,” Kucing itu tidak najis, ia termasuk haiwan yang berkeliling dalam lingkunganmu.” (HR yang berlima. Kata Turmudzi:’ hadith ini hasan lagi sahih. Juga dinyatakan sahih oleh alBukhari] Takhrij/tahqiq: Abu Daud (1/18), anNasa’iy (1/55), Termidzi (1/153/# 92), Ibn Majah (1/131) dan Musnad Ahmad (5/297), disahihkan oleh al-Albani dalam sahih Ibn Majah (367), al-Irwaa’ (173) dan Sahih alJaami’ (2437)

5. Sisa anjing dan khinzir (babi)

Hadith #51: Dari Abu Hurayrah, [sabda saw] “ Bila anjing minum pada bejana salah seorang di antaramu, hendaklah dicucinya sebanyak tujuh kali” (Bukhari-Muslim). Takhriij: hadith ini adalah muttafaq alaih, Lu’ lu’ wal Marjan, tahqiq Fu’ad Abd Baqi’ # 160). Ia menjadi dalil akan kenajisan air liur anjing sahaja kecuali air liur anjing pemburu (hunting dog) [Dr Abdullah alMuthlaq, Fiqh Sunnah alMuyassar/194)

Hadith #52: Dari Ahmad dan Muslim: [sabda saw] “ membersihkan bejana salah seorang kamu bila dijilat anjing ialah dengan membasuhnya sebanyak 7X, permulaannya dengan tanah.” Takhrij: Muslim #279 dari Abu Hurayrah. Fiqh alhadith: ini adalah dasar supaya membersihkan jilatan anjing sebanyak 7X dan dikenali dengan samak dalam istilah orang melayu.

Kemudian al-Sayyid menutup bab ini dengan komentar ringkas: “Adapun sisa babi ialah kerana kotoran dan menjijikkan.”

Ulasan: Ini hanyalah pendapat al-Sayyid mengikut fiqh Syafi’iy. Manakala majoriti fuqaha’ (selain Syafi’iy) tidak mengqiaskan sisa minuman anjing dengan babi, demikian kata alSyawkani dalam sail aljarar (1/38)

Penutup: kita akan membahaskan lagi topik berikutnya: anNajasah (Najis) ms 45.

1 comments:

Unknown said...

maaf,
penjelasan ini d ambil dari kitab apa?

Post a Comment