Dec 11, 2008

Siri 17: Tamhid Fiqh Sunnah 6

Siri 17: Tamhid Fiqh Sunnah 6

Kaidah-kaidah Umum dalam berfiqih:

4. Mengembalikan masalah-masalah yang dipertikaikan itu kepada Kitab dan Sunnah.

Ayat dalil yang masyhur ialah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تأويلا

Terjemahnya: “ Maka jika kamu berselisih tentang sesuatu perkara, kembalikanlah kepada Allah dan Rasul.” AQ 4: 59


Syarah:

Kembali kepada alQur:an-Sunnah ini menjadi satu polemik yang besar dalam sejarah Islam. Sebab itu Ustaz alBanna (w. 1949) menjadikan kaedah:” ruju’ kepada alQur:an dan asSunnah” sebagai Usyul #2 dari Usyul Asyriin beliau. Kata Ustaz alBanna:”

والقرآن الكريم والسنة المطهرة مرجع كل مسلم فى تعرق أحكام الإسلام

Terjemah: "alQur:an yang mulia dan Sunnah yang suci adalah tempat kembali setiap muslim untuk memahami hukum-hukum Islam.” [Risalah Ta’alim]

Ustaz alBanna menyebut alQur:an dan Sunnah sahaja tanpa menyebut Qias dan Ijmaa’ dan sumber-sumber lain kerana inilah dua dalil yang disepakati oleh semua pihak. Imam alSyatibi dari Granada, Sepanyol berkata, dalil-dalil ada dua jenis: naqli dan aqli (rasio). Dalil naqli hanyalah alQur:an dan asSunnah. Dalil2 naqliah itulah yang thabit, yang sahih dan menjadi sandaran hukum-hakam syara’. (alMuwafaqaat/2/42)

Dari seruan ‘kembali kepada alQur:an dan asSunnah’, maka muncullah manhaj salafiyah dan aliran madzhabik.

Komentar Syaikh Ali al-Tanthawi (w. 1999, kelahiran Syria dan akhirnya menetap dan wafat di Saudi) mengulas akan ayat ini mengenai fenomena perpecahan di kalangan umat Islam dan metod untuk kembali kepada al-Qur:an dan asSunnah ialah sebenarnya kembali kepada asSunnah kerana sunnah memberikan penafsiran terhadap al-Qur:an. Ayat di atas (AQ 4:59) ayat ‘kembali kepada Rasul ialah kembali kepada asSunnah'. Namun di sana umat Islam ada dua jenis:

1. mereka yang sudahpun mampu untuk kembali kepada sunnah tapi belum bergerak melaksanakannya, maka mana mungkin orang yang tidak menerapkan sunnah pada dirinya menyeru pula orang lain kepada sunnah?
2. mereka yang tidak mengerti akan sunnah, hadith2 tidak dipelajari dalam masyarakat dan inilah fenomena yang sangat jelas dalam masyarakat, fenomena buta asSunnah.

Kemudian Syaikh Ali Tanthawi menolak sikap sebahagian aliran sunnah yang ekstrim yang menolak madzhab secara total kerana berpegang dengan manhaj kembali kepada al-Qur:an dan Sunnah, “ ada sebahagian manusia berkata Islam adalah kembali kepada Sunnah dan meninggalkan semua madzhab. Semua orang mampu membaca kitab hadith yg enam (kutub sittah), majmu’ zawaid dan memeriksan para rijal pada kitab atTaqrib dan atTahdzib, maka wajib atasnya ijtihad dan haram atasnya taqlid. Ini suatu metod yang salah kerana ahli hadith laksana ahli farmasi yang menghafal dan mengkod ramuan ubat-ubatan, manakala disiplin fiqh pula laksana sang doktor. Di kalangan sahabat pula hanya terdapat 100 orang sahaja yang memberi fatwa, sedangkan 100,000 yang lain yang ditinggal wafat oleh RasuluLlah saw mengembalikan persoalan kepada yang 100 itu. [Ulama’ kontemporer yang sering mendengungkan gesaan supaya mengimbangi hadith dan feqah ialah Syaikh Muhammad alGhazali dan Dr Yusof Abdullah alQaradawi]

Adapun madzhab-madzhab feqah kata Syaikh Ali ialah turath atau khazanah yang telah terbina begitu lama dan kukuh, mereka laksana pembina rumah dan istana, hingga tersergam binaan rumah itu. Maka suatu kebodohan jika ada mereka yang tidak mahu menerima rumah sedia ada itu dan ingin membina rumah yang lain yang serba baru dengan masuk hutan menebang balak. Sesungguhnya proses menghasilkan rumah dari balak itu adalah suatu proses yg amat panjang. [Dr Qardhawi juga mendoong idea Syaikh Ali dalam bukunya ‘kaifa nata’amalu ma’a Turath wa Tamadzuub wa Ikhtilaf’ atau Bagaimana Berinteraksi dengan Khazanah, madzhab-mazhab dab perbedzaan salaf’] [Syaikh Ali Tanthawi, Majalah alMuslimoon, Januari 1952]

Syaikh Nasiruddin al-Albani agak tersinggung dengan tulisan Syaikh Ali Tanthawi dan membuat radd (sanggahan) terhadap dakwaan beliau mengenai ahli hadith vs ahli feqah serta isu madzhab. Kata al-Albani, tidak benar sama sekali ada penegak sunnah yang mewajibkan ijtihad kepada semua orang kerana semua orang tahu ijtihad hanyalah diwajibkan ke atas mereka yang benar-benar layak dan mampu, apa yang sebenar diseru ialah ittiba’ (mengikuti sesuai dengan dalil) kepada setiap muslim. Demikian pula mereka mengharamkan taqlid (mengambil hujah seseorang tanpa mengetahui dalilnya) kecuali dalam keadaan dharurat (terpaksa) atau tidak mampu menemukan sunnah. Inilah sikap sebenar penegak manhaj salafiyah dalam isu ijtihad, takqlid, madzhab dan ittiba’. [al-Albani, Maqalaat al-Albani, Dar al-Atlas, Riyadh]

Jadi, seruan penyatuan umat Islam yang diseru oleh penegak aliran salafiyah, seruan kembali kepada al-Qur:an dan Sunnah bukanlah seruan mewajibkan ijtihad dan menghapuskan taqlid serta mengharamkan amalan bermadzhab dalam masyarakat. Persepsi dan tohmahan sekian lama ini perlu diperbetulkan bahawa seruan kembali kepada Sunnah sebenarnya ialah seruan supaya umat Islam kembali kepada dalil. Manhaj ittiba' asSunnah ini dijelaskan oleh Abdullah bn Mas’ood ra,

من كان مستنا فليستن بمن قد مات, أولئك أصحاب محمد

“ Barangsiapa yang mencontoh, maka contihilah kepada kaum yang sudah pergi, iaitu para sahabat Muhammad saw…” (alBaghawi, Syarah asSunnah)

اتبعوا ولا تبتدعوا فقد كقيتم , عليكم بالأمر العتيق

“ Ittiba’lah dan jangan berbuat bid’ah, maka kalian telah dicukupi. Berpeganglah kalian dengan perkara yang kukuh” (Sunan adDarimi)

Penutup Imam Malik mengenai ittiba’:

“ Akhir umat ini tidak akan menjadi baik kecuali denga perkara yang dinilai baik oleh permulaan umat ini (salaf)” (Qadhi Iyadh, asy-Syifaa’, 2/88)

0 comments:

Post a Comment