Jan 17, 2009

Anak Angkat

Assalammualaikum,

kawan saya dan suaminya telah meninggal dunia. mereka mempunyai seorang anak angkat lelaki. saya dan suami bercadang utk menjadi penjaga kepada anak angkat kawan saya yg meninggal itu. soalan saya:

nama anak itu tidak ada bin (zamri hussin) zamri nama anak, hussin nama suami kawan saya. apakah nama yg macam ini bermaksud menasabkan kpd ayah angkatnya walaupun tidak ada bin?

ibu sebenar anak ini melahirkannya tanpa pernikahan yg sah dan ibunya ini masih hidup. Adakah anak ini dianggap anak yatim? sekiranya ibunya ini sudah mempunyai keluarga dan anak2 yg lain, apakah hubungannya dgn anak2 ibunya itu, adakah mereka dianggap mahram?

****************
Jawapan:

Saya akan menyebut beberapa pandangan ulama dalam permasaalahan ini:

Jumhur (kebanyakan ulama) tidak membenarkan menasabkan anak zina kepada lelaki yang berzina dengan ibunya, kerana perzinaan tidak menthabitkan nasab. manakala Ishak bin Rahuwiah, 'Urwah, Sulaiman bin Yasar dan Abu Hanifah mengharuskannya.

Salah satu fatwa di dalam laman islamweb yang memilih pendapat jumhur yang melarang, menyebut anak zina itu dinasabkan kepada ibunya dan kepada keluarga ibunya. Kalau ada keuzuran untuk menasabkan kepada ibunya, maka dipilih untuk anak zina itu nama yang munasabah dengan keadaannya seperti Abdullah bin Abdul Rahman atau Muhammad bin Abdul Rahman. Jika anak itu perempuan dinamakan kepada dia nama yang munasabah seperti ..... Binti Abdillah atau ... binti Abdil Karim atau yang seumpamanya.
(sumber: http://www.islamweb.net/ver2/Fatwa/ShowFatwa.php?lang=A&Id=12263&Option=FatwaId)

Namun Dr. Solah al-Sowi di dalam laman islam-online mendakwa Jumhur fuqaha (Ulama Fiqh) berpendapat air (mani) daripada zina itu adalah sia-sia, ia tidak menthabitkan nasab. Pandangan yang dipilih oleh para pentahkik dari kalangan Ahli Ilmu (ulama), bahawasanya anak zina disandarkan nasabnya kepada yang berzina dengan ibunya jika tidak ada seseorang (lain) yang mempertikaikannya (yang mendakwa anak itu anaknya). Inilah pandangan yang dipilih oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah dan pandangan ini ditarjihkan oleh anak muridnya Ibn Qayyim al-Jauziyyah. Pandangan ini juga yang dipilih oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi.
(sumber: http://www.islamonline.net/servlet/Satellite?pagename=IslamOnline-Arabic-Ask_Scholar/FatwaA/FatwaA&cid=1170620734972)

al-Qaradhawi di dalam islam-online berkata: "Terdapat pandangan dari beberapa ulama salaf: 'Urwah bin al-Zubair, al-Hasan al-Basri, Ishak bin Rahuwiah dan selain mereka yang mengharuskan menyandarkan anak zina jika bukan dari perkahwinan yang sah, atau ibunya belum berkahwin, atau ibunya itu telah bercerai atau janda, lalu seorang mendakwa anak (yang dilahirkan wanita) itu adalah anaknya, Maka harus disandarkan anak zina itu (kepadanya). Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah dan anak muridnya Ibn al-Qayyim mentarjih pendapat ini.
(sumber: http://www.islamonline.net/servlet/Satellite?pagename=IslamOnline-Arabic-Ask_Scholar/FatwaA/FatwaA&cid=1122528618722)

Hubungan Dengan Adik Beradiknya

Anak itu dihukum sebagai mahram kepada adik-beradiknya, setidak-tidaknya disebabkan mereka seibu.

wallahu a'lam.

0 comments:

Post a Comment