bolehkah dibacakan yasin kepada seorang yang sedang menghadapi sakaratul maut
***********************
Assalamualaikum
Majoriti ulama (Mazhab Hanafi, Syafi'i dan Hambali) mengatakan membaca surah Yasin untuk orang nazak adalah digalakkan. Mereka telah mengemukakan beberapa dalil. Tetapi, dalil2 tersebut tidak terlepas daripada beberapa kelemahan.
Hadis daripada Ma'qil ibn Yasar r.a.:
اقرأوا علي موتاكم يس
An-Nawawi mendhaifkan hadis ini di dalam kitabnya (al-Azkar).
Al-Albani juga mengklasifikasikan hadis ini sebagai dhaif dalam kitabnya (Irwa' al-Ghalil-688)
Shaikh al-Islam Ibn Taymiyyah memilih pendapat ini, seperti yang disebut di dalam (al-Ikhtiarat, hlm 91):
"Membaca al-Quran ke atas orang yang sudah mati adalah bidaah dan ini berbeza dengan membaca surah Yasin kepada orang yang hampir mati (nazak), di mana ia disunatkan."
Imam Malik berpendapat, membaca surah Yasin atau surah lain untuk orang yang hampir mati adalah makruh. Ini kerana hadis berkenaan merupakan hadis dhaif dan ia bukanlah amalan yang biasa dilakukan oleh orang ramai. (Rujuk al-Fawakih al-Dawani, jil 1, hlm 284, Syarh al-Mukhtasar Khalil, jil 2, hlm 137)
Shaikh al-Albani berkata di dalam kitabnya (Ahkam al-Janaiz):
Membaca Yasin ke atas orang yang hampir mati dan menghadapkannya ke arah kiblat adalah berdasarkan kepada hadis yang tidak sahih.
Shaikh Abdul Aziz ibn Baz pernah ditanya, adakah dibenarkan membaca Yasin ke atas orang yang hampir mati?
Beliau menjawab:
Membaca Yasin ke atas orang yang hampir mati adalah berdasarkan kepada hadis Ma'qil ibn Yasar,
اقرأوا علي موتاكم يس
Bacalah kepada orang yang hampir mati di kalangan kamu dengan surah Yasin.
Sebahagian ulama mengatakan hadis ini sahih dan isnadnya adalah baik. Ia diriwayatkan oleh Abu 'Uthman al-Nahdi daripada Ma'qil ibn Yasar.
Sebahagian ulama lain mendaifkan hadis ini. Mereka mengatakan, hadis ini tidak diriwayatkan oleh Abu 'Uthman al-Nahdi tetapi orang lain yang tidak dikenali. Hadis ini terkenal kedaifannya disebabkan Abu 'Uthman tidak dikenali.
Oleh itu, tidak disunatkan membacanya.
Bagi mereka yang berpendspat hadis tersebut adalah sahih, maka di anjurkan untuk membacanya.
Membaca al-Quran untuk orang sakit adalah satu perkara yang baik. Mudah-mudahan dia akan mendapat manafaat daripada bacaan tersebut. TETAPI, mengkhususkan bacaan Yasin sahaja adalah bersumberkan hadis dhaif yang tidak ada sebarang dalil yang menyokongnya. (Rujuk Fatawa Ibn Baz, jil 13, hlm 93).
Shaikh Ibn 'Uthaimin pula, apabila ditanya tentang persoalan ini, adakah terdapat di dalam sunnah ataupun tidak?
Beliau menjawab:
Membaca Yasin untuk orang yang hampir mati adalah sunat menurut kebanyakan ulama berdasarkan hadis yang dinyatakan sebelum ini. Tetapi terdapat sebahagian ulama yang membahaskan hadis ini dan mendaifkannya. Bagi orang yang mengatakan hadis ini sahih, maka membaca surah Yasin adalah sunnah. Manakala golongan yang berpendapat bahawa hadis ini daif, maka membacanya tidak sunnah. (Rujuk Fatawa Ibn 'Uthaimin, jil 17, hlm 72).
Sumber: JENAZAH -Menghurai Kemusykilan Berkaitan Pengurusan Jenazah, m/s 2-7. Karya Bestari.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment